Berita Hari Ini

COVID-19: 16 Kes Baharu Dengan Separuh Kes Import

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini dengan separuh daripadanya adalah kes import, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada 142 kes.

Justeru, katanya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,831 kes.

Bagaimanapun, tiada kematian dicatatkan hari ini dengan menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 123 kes, katanya dalam kenyataan media harian COVID-19, di sini, hari ini, lapor Bernama.

“Daripada 16 kes baharu dilaporkan, lapan adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat rakyat Malaysia dan empat bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja,” katanya.

Lapan orang itu pulang atau datang dari India, Rusia, Arab Saudi, China, Indonesia dan Korea.

Beliau berkata daripada lapan kes penularan dalam negara itu, tujuh kes adalah dalam kalangan warga tempatan dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan untuk berlepas ke luar negara, tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Dr Noor Hisham berkata bagi tujuh kes penularan COVID-19 tempatan melibatkan warganegara, kesemuanya adalah di Sarawak dengan tiga kes daripada Kluster Stutong.

“Satu kes melibatkan Kluster Sentosa dan satu kes membabitkan pesakit dalam siasatan Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Melbourne,” katanya.

Manakala, satu kes saringan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8695) dan satu kes lagi melibatkan saringan kembali bertugas di sekolah, tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, jelas Dr Noor Hisham.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat empat kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,566 kes (96.9 peratus).

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini hanya lima kes positif wabak itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");