Berita Hari Ini

COVID-19: Dua Hari Sifar Penularan Tempatan, Hanya 6 Kes Import

KUALA LUMPUR – Usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini terus menunjukkan hasil yang baik apabila sifar kes penularan tempatan direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, iaitu hari kedua berturut-turut.

Tiada kematian baharu turut direkodkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat wabak itu kekal 121 kes untuk hari ke-24 berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya enam kes baharu dilaporkan hari ini, kesemuanya kes import iaitu lima warga tempatan dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia ialah sebanyak 8,683 kes, sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 63 kes,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Beliau berkata terdapat 13 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 8,499 kes atau 97.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata hanya dua kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau turut mengisytiharkan satu kluster tempat kerja iaitu Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur, tamat hari ini.

Katanya bagi kluster itu, seramai 33 orang telah disaring, melibatkan 16 warga tempatan dan 17 bukan warganegara.

“Daripada jumlah itu, empat kes positif COVID-19 dikesan iaitu tiga pekerja syarikat dan satu kontak rapat mereka. Semua kes adalah dalam kalangan warga Indonesia,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 15 kluster yang disenaraikan di bawah kluster tempat kerja, dan Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur adalah kluster ke-11 yang diisytiharkan tamat.

Menurut Dr Hisham, hanya empat kluster tempat kerja yang masih aktif iaitu Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2, Kluster Pedas, Kluster Syarikat Pembersihan dan Kluster Tapak Pembinaan Kuching.

Sehingga hari ini jumlah keseluruhan inidividu yang disaring bagi kumpulan kluster itu ialah 10,362 orang, membabitkan 4,242 (40.9 peratus) rakyat Malaysia dan 6,120 (45.3 peratus) bukan warganegara.

“Jumlah keseluruhan kes positif pula ialah 722 kes yang melibatkan 122 (16.9 peratus) warganegara Malaysia dan 600 (83.1 peratus) bukan warganegara,” katanya.

“Pecahan kes bukan warganegara membabitkan 234 warga Bangladesh, Nepal (212), Indonesia (109), Myanmar (36), India (7), serta masing-masing satu warga Kemboja dan Vietnam.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan majikan untuk memantau dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard dalam kalangan pekerja, seterusnya dapat mengelakkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");