Berita Hari Ini

COVID-19: Malaysia Masih Catat Satu Angka Positif

PUTRAJAYA – Malaysia mencatat jumlah kes positif COVID-19 satu angka sejak 29 Jun lepas, dengan hanya lima lagi kes baharu direkod hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada lima kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.

“Kedua-dua kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia, iaitu dua kes saringan pra rujukan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Tiada kes di kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini,” katanya pada sidang media perkembangan wabak Covid-19 di sini hari ini, lapor Bernama.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,648 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 81 kes.

Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah didiscaj daripada wad juga mengampiri 100 peratus, iaitu sebanyak 97.7 peratus atau bersamaan 8,446 kes termasuk sembilan lagi kes pulih hari ini, kata beliau.

Beliau berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu kekal 121 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berhubung kebimbangan segelintir masyarakat mengenai kes COVID-19 yang masih wujud di dalam komuniti dan belum dapat dikesan, beliau berkata kerajaan telah mengambil pendekatan pengesanan kes COVID-19 melalui aktiviti survelan termasuk survelan klinikal dan juga saringan kumpulan-kumpulan sasar.

“Pendekatan tertumpu ini turut dapat mengambil kira penjimatan kos dan didapati telah turut dilaksanakan di beberapa negara lain yang sedang berjaya memerangi pandemik COVID-19 tanpa ujian COVID-19 secara besar-besaran.

Dengan pendekatan tertumpu ini, sumber yang digunakan bagi menjalankan ujian dan aktiviti saringan ini dapat dipertimbangkan dengan cermat, termasuk juga bagi mengelak pembaziran. Ini memandangkan usaha memerangi COVID-19 ini masih panjang,” katanya.

Katanya, sistem survelan klinikal bagi COVID-19 di Malaysia telah bermula sejak 12 Februari lepas yang dijalankan di Klinik Kesihatan dan hospital KKM dan sehingga semalam, secara kumulatif KKM telah melaporkan sebanyak 113 kes COVID-19 yang dikesan melalui pelaksanaan sistem survelan itu.

Aktiviti survelan bertindak sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal bagi penularan COVID-19 di Malaysia. Sistem ini membolehkan kerajaan mengambil tindakan pembendungan penularan dengan segera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");