Berita Hari Ini

DBP Wajar Diberi Kuasa Undang-undang Martabatkan Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wajar diberi kuasa undang-undang dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

BH Online melaporkan Timbalan Presiden Persatuan Lingustik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, DBP sudah lebih 60 tahun menegur dan menasihat tetapi banyak pihak tetap degil dan melanggar juga undang-undang atau akta berkaitan.

Katanya, lebih aneh agensi atau jabatan kerajaan sendiri memandang sebelah mata sahaja teguran DBP.

“PLM menyokong penuh DBP diberikan kuasa menguatkuasa undang-undang bagi memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamal Shukri berkata, pihak penggubal undang-undang sendiri di Parlimen iaitu wakil rakyat malah Yang Dipertua dan Timbalannya baru-baru ini turut juga mempersendakan bahasa kebangsaan dengan menggunakan bahasa Inggeris tanpa segan silu lagi.

“Jika dahulu, biasanya ada permohonan izin jika mahu menggunakan sepatah dua kata bahasa Inggeris, kini hampir tidak terdengar permohonan izin lagi.

“Jika beginilah sikap kebanyakan wakil rakyat dan Yang Dipertua serta Timbalannya, maka jadilah mereka seperti pepatah ‘ketam menyuruh anaknya berjalan betul’ atau ‘kuah basi yang tumpah ke nasi yang juga basi’,” katanya.

PLM juga mencadangkan supaya semua calon wakil rakyat diwajibkan lulus ujian kecekapan bahasa Melayu yang disediakan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

“Jika gagal hilanglah kelayakannya. Kita tidak mahu lagi wakil rakyat yang ‘terbulu-bulu’ di Parlimen Malaysia atau menteri yang gagap menyebut kata bahasa kebangsaannya sedangkan bahasa Inggerisnya fasih dan lancar sekali.

“Salahkah dia fasih berbahasa Inggeris? Tidak sekali-kali, tetapi salahnya dia tidak fasih berbahasa kebangsaan negara sendiri yang jelas menjadi petunjuk sikap negatifnya terhadap bahasa di sini,” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat yang tidak fasih bahasa Melayu patut berasa malu dengan rakyat yang diwakilinya.

“Jika dia bermaruah, eloklah letak jawatan sahaja. Warga asing seperti Bangladesh, Vietnam, Rohingya hanya memerlukan kira-kira tiga hingga empat bulan sahaja untuk fasih bahasa Melayu, antara bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia.,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");