Berita Hari Ini

Dewan Perniagaan Cina Mahu BNM Umum Program Pembayaran Semula Bantu Peminjam

KUALA LUMPUR: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menyuarakan kebimbangannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung tempoh moratorium pinjaman 6 bulan yang akan berakhir pada akhir September 2020.

BNM pada Jumaat mengadakan pertemuan dengan ACCCIM untuk mendapatkan maklum balas komuniti perniagaan berhubung moratorium pinjaman.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh timbalan gabenor BNM Jessica Chew yang dihadiri para pegawai kanan bank pusat.

Turut hadir ialah presiden ACCCIM Ter Leong Yap dan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie.

Ter dalam satu kenyataan hari ini berkata, persatuan itu berharap BNM akan mengumumkan program pembayaran semula fleksibel susulan bagi membantu individu dan perniagaan mengharungi tempoh sukar ini memetik FMT.

ACCCIM juga berkongsi dapatan daripada kaji selidiknya bertajuk “Kaji Selidik Keadaan Perniagaan dan Ekonomi Malaysia” bagi separuh pertama 2020 dengan BNM.

Kaji selidik itu mendedahkan 37% syarikat menyatakan mereka mempunyai kurang daripada 3 bulan aliran tunai untuk menampung operasi perniagaan, manakala 42% responden mempunyai aliran tunai dalam tempoh 3-6 bulan.

Kira-kira 45.7% daripada responden perlukan tambahan 6 bulan lagi moratorium pinjaman manakala 20.7% meminta tambahan 3 bulan.

Ter berkata, BNM memaklumkan bahawa institusi kewangan ketika ini sedang giat mengadakan perbincangan dengan peminjam untuk menawarkan bantuan bagi pembayaran semula pinjaman dan kemudahan kredit selepas berakhirnya moratorium pinjaman automatik pada September.

Antara pembayaran semula yang fleksibel adalah ansuran bulanan yang rendah, pembayaran semula berperingkat dan lanjutan tempoh pinjaman.

Pendekatan bersasar itu akan membantu sektor dan peminjam yang beroperasi dalam industri dan sektor sangat mudah terdedah dan sektor yang mengambil masa yang lama untuk pulih.

Katanya, dalam hal ini, bank pusat menggesa peminjam untuk membuat persediaan lebih awal untuk bertemu dengan pegawai bank bagi merangka program pembayaran semula fleksibel berdasarkan kepada kedudukan dan keperluan kewangan mereka.

Ter berkata, ACCCIM mengalu-alukan pendekatan proaktif berterusan BNM dan institusi kewangan bagi membantu perniagaan dan peminjam dalam program pembayaran semula pinjaman untuk menyokong pemulihan ekonomi dan perniagaan bangkit daripada impak akibat pandemik Covid-19.

“Kami juga mahu BNM menimbang memberikan lebih fleksibiliti dalam memastikan mana-mana pinjaman/pembiayaan dijadualkan dan distruktur semula (R&R) tidak dikelaskan sebagai terjejas kredit dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK) sehingga 2021,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");