Berita Hari Ini

Dua Beradik Disyaki Didera Ibu Kandung Dan Teman Lelaki

BUKIT MERTAJAM – Dua beradik lelaki berusia tujuh dan lima tahun disyaki didera oleh ibunya dan teman lelaki dalam satu kejadian di sebuah bilik dalam sebuah bengkel, dekat Permatang Tinggi di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abdul Samad berkata ibu kandung mangsa dan teman lelakinya itu telah ditahan di Perkarangan Hospital Bukit Mertajam, kira-kira 3.20 pagi, semalam.

“Suspek lelaki yang berusia 28 tahun yang merupakan pemandu lori kini direman selama tujuh hari manakala suspek wanita, 33 tahun, yang merupakan suri rumah telah dijamin (kerana mengandung),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini, lapor Bernama.

Shafee berkata laporan polis telah dibuat oleh bapa saudara mangsa setelah mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan seolah-olah dipukul pada beberapa anggota badan dan mengesyaki berlakunya penderaan.

“Susulan itu, bapa saudara mangsa yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai eksekutif logistik menghantar kanak-kanak malang itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam sebelum berlakunya tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang dipercayai ingin melawat mangsa.

“Walau bagaimanapun, kedua-dua suspek mengaku bahawa mereka memukul mangsa kerana nakal dan degil,” katanya.

Katanya, mangsa memberitahu telah dipukul oleh kedua-dua suspek dengan menggunakan tangan, kayu dan tali pinggang dan polis mendapati terdapat kecederaan seperti lebam di bahagian betis, paha dan punggung sebelah kiri mangsa.

“Sebelum ini, mangsa tinggal di asrama Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak bulan Disember lalu sehingga Mac tahun ini iaitu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudian telah dijaga oleh pengadu iaitu bapa saudaranya,” katanya.

Menurutnya, bapa saudara mangsa kemudian menghantar mangsa kepada ibu kandung mereka pada 24 Jun hingga 3 Julai lalu kerana perlu membawa ibunya untuk temujanji rawatan kesihatan kerana tiada siapa yang akan menjaga mangsa.

“Walau bagaimanapun, setelah anak saudaranya dikembalikan, bapa saudara mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada badan mangsa dan mengesyaki anak saudaranya itu didera,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");