Berita Hari Ini

ECRL: Sudah Muktamad Barulah Komen, Kata Ka Siong

SHAH ALAM – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini membidas bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkaitan isu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ka Siong mengeluarkan kenyataan mengenai ECRL berikutan Loke tidak bersetuju jajaran projek itu kembali kepada asal seperti dirancang pada peringkat awal ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, dakwaan kononnya jajaran asal menambah kos pembinaan secara mendadak iaitu sebanyak RM20 bilion tidak berasas.

“Setelah disemak secara mendalam, saya dapat mengesahkan bahawa kadar unit kos pembinaan sama ada struktur jejambat atau terowong digunakan oleh kontraktor Projek ECRL tidak pernah berubah atau dikurangkan walaupun jajaran baru dicadangkan Pakatan Harapan (PH).

“Dengan mengambil pendekatan pengurangan skop dalam kerja landasan berkembar ‘double track formation’ seperti yang dilakukan untuk pakej A & B bagi projek ECRL maka kos pembinaan jajaran asal boleh dikurangkan.

“Bersabarlah Anthony (Loke), bila jajaran pakej C sudah dimuktamadkan, barulah komen tentang kos berdasarkan kuantiti kerja dan jarak. Itu baru adil,” kata Ka Siong dalam kenyataannya hari ini.

Ka Siong turut menjawab dakwaan Anthony yang kononnya jajaran baharu dapat mengelak pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer bagi merentasi Banjaran Titiwangsa di Genting.

“Kenapa pula Anthony (Loke) tidak mendedahkan bahawa di bawah perjanjian tambahan (supplemental agreement no.5) SA5, masih terdapat pembinaan terowong lain bagi merentasi Banjaran Titiwangsa di Kuala Klawang?

“Selain itu, di dalam perjanjian SA5 yang sama, terdapat peruntukan untuk semak semula kuantiti terowong atau jejambat dengan penambahan sehingga 41km.

“Ini menjadikan kos pembinaan ECRL lebih dari RM46 bilion, bukannya RM44 bilion seperti yang pernah diumumkan oleh (bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan), Tun Daim Zainuddin,” kata Ka Siong.

Mengenai dakwaan Loke bahawa Permatang Kuarza Klang Gate bakal dimusnahkan sekiranya jajaran asal dibina, Ka Siong mempersoalkan bekas menteri pengangkutan itu tidak menilai opsyen yang disediakan oleh kontraktor iaitu permatang kuarza Gombak dapat diselamatkan.

“Cadangan ini sudah lama diketengahkan. Saya juga hairan kenapa mantan Menteri Pengangkutan Anthony (Loke) tidak pernah mengambil tahu perkara ini?

“Saya nak beritahu Anthony (Loke) bahawa semua opsyen penyelesaian yang dikemukakan kepada kerajaan Selangor pasti tidak merosakkan permatang kuarza Gombak. Kalau tidak percaya, boleh semak dengan MRL (Malaysia Rail Link Sdn Bhd),” kata Ka Siong.

Menurut Ka Siong, Anthony juga berkata bahawa jajaran baharu itu akan memberi tempias pembangunan kepada lima negeri dan bagi beliau kalau melalui jajaran asal, sebanyak empat negeri dan daerah berkaitan turut dapat menikmat pembangunan memetik Sinar Harian.

“Bezanya cuma tidak melalui Negeri Sembilan sahaja. Perlu lihat ‘viability’ projek ECRL yang bergantung 30 peratus kepada penumpang dan 70 peratus kargo.

“Berdasarkan kajian pakar perunding yang memang diketahui oleh Anthony (Loke), bilangan penumpang berpotensi (Ridership) menggunakan perkhidmatan bagi laluan Mentakab, Bentong dan Gombak adalah lebih dinamik berbanding Kuala Klewang, Nilai dan Putrajaya,” katanya.

Tambah Ka Siong, Anthony turut berkata bahawa jajaran baharu terus sampai ke Pelabuhan Klang tetapi pemimpin DAP itu tidak memberitahu jajaran baharu disambung ke Westports sahaja tetapi jajaran asal akan bersambung ke Westports dan Northport.

“Tunggu dan lihat jajaran asal dari Mentakab-Bentong-Gombak-Serendah-Jalan Kastam-Pelabuhan Klang yang sedang dikaji dan diperhalusi.

“Sistem ‘dual-track’ iaitu landasan ‘meter gauge’ dan ‘standard gauge’ berkembar akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang sebagai ‘bypass’ di mana semua keretapi kargo KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) dari Utara yang menggunakan ‘meter gauge’ tanpa perlu melalui Bandaraya Kuala Lumpur sekaligus menjimatkan masa perjalanan 1jam 45 minit,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");