Perak Hari Ini

Gua Mat Surat Di Ipoh Terima Ancaman Pencerobohan

IPOH: Selepas isu pencerobohan cubaan membina kuil berjaya diselesaikan pada Februari lalu, Gua Mat Surat yang berada berhampiran dengan Gunung Lang, dekat sini turut menerima ancaman lain.

Gua yang dipercayai berusia ratusan tahun itu diceroboh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengorek enam ke tujuh lubang dalam sekitar gua tersebut.

Menurut Presiden Kelab Rekreasi Ventrex, Mohd Fadly Md Noor, aktiviti tersebut dikesan aktif sejak Februari namun tidak diketahui motif sebenar pencerobohan itu.

“Pada awal kami kesan aktiviti mengorek tanah ini seolah-olah mahu membesarkan kawasan dalam gua. Atas tujuan apa kami tidak pasti. Aktiviti ini aktif sejak ada cubaan untuk membina kuil di sini Februari lalu.

“Mungkin aktiviti tersebut bertujuan untuk mencari harta karun ataupun batu kristal yang mungkin ada dalam gua itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelasnya aktiviti tersebut dikhuatiri akan menimbulkan rekahan dalaman dinding gua dan seterusnya akan merosakkan struktur semula jadi gua batu kapur tersebut.

Selain daripada pengorekkan lubang, Ujar Mohd Fadly aktiviti pencerobohan hampir 50 ekor kerbau yang kandangnya ditempatkan berhampiran turut mengancam gua yang berada dalam kawasan Geopark Lembah Kinta itu.

“Disebabkan ada sumber air, kerap kali kerbau-kerbau itu masuk ke dalam gua tersebut.

“Berdasarkan saiz dan jumlah kerbau masuk ke gua itu kita bimbang ia akan mengganggu struktur lantai semula jadi batu kapur,” katanya lagi.

Menurut penduduk tempatan, Sujab Sayutti,44 aktiviti penempatan kerbau secara haram itu telah berlarutan sejak lapan tahun yang lalu.

Dakwanya beberapa aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa namun, sehingga hari ini tiada tindakan yang diambil.

Justeru juruteknik maklmal di sebuah kilang swasta itu berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dalam memelihara gua bersejarah itu.

“Gua di Ipoh ini banyak yang telah diganggu struktur semula jadinya. Justeru, saya berharap Gua Mat Surat ini dapat dipelihara demi generasi yang akan datang.

 

“Gua Mat Surat ini terletak di tengah-tengah bandar Ipoh dan kawasan persekitarannya yang dikelilingi alam semula jadi menjadikan ia unik,” ujarnya lagi.

Difahamkan, terdapat kira-kira 11 lukisan pra-sejarah di dinding-dinding Gua Mat Surat yang mana ianya turut menjadi sebahagian daripada kajian oleh pakar dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Adnan Jusoh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");