Berita Hari Ini

Hasrat Saya Mahu Bantu Presiden – Ahmad Faizal

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedang memperkemaskan kempen di seluruh negara selepas mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Bersatu dalam pemilihan tertinggi parti itu tidak lama lagi.

Memetik laporan Harian Metro, Menteri Besar Perak itu berkata, turut dimaklumkan terdapat dua lagi calon menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden Bersatu.

“Saya sudah pun menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden Bersatu. Saya juga dalam rangka lawatan ke negeri berjumpa dengan rakan seperjuangan untuk memperkenalkan diri.

“Hasrat saya (bertanding Timbalan Presiden) untuk membantu Presiden parti yang juga Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya yakin dengan kepemimpinan beliau yang semakin diterima oleh rakyat dan saya ingin membantu beliau di dalam parti supaya dapat membawa agenda perjuangan orang Melayu ke tahap yang sepatutnya.

“Saya mendapat maklumat ada dua lagi calon sudah menawarkan diri. Saya belum dapat lagi maklumat (terperinci) daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu peringkat pusat yang dipengerusikan Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar.

“Maklumat yang saya ada, seorang daripada dua calon itu ialah Senator Datuk Marzuki Yahya. Sahabat saya dahulu dan sekarang pun masih bersahabat…tetapi dia sudah lama tidak balas mesej,” katanya dalam nada berseloroh.

Beliau ditemui ketika melakukan kunjungan hormat delegasi Menteri Besar Perak di pejabat Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri sedang menawarkan baucer pelancongan bagi menggalakkan kedatangan pelancong ke Perak.

“Baucer terbabit akan diberikan dan sah digunakan bermula 1 Julai sehingga 30 November depan. Baucer RM50 bagi penginapan di hotel terpilih dan baucer RM30 untuk produk pelancongan terpilih.

“Tawaran ini terbuka kepada semua pelancong dalam negara dan terhad kepada 1,500 keping baucar (fasa pertama),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");