Perak Hari Ini

Ibu Bapa Bersedia Dengan Pembukaan Semula Sesi Persekolahan

IPOH: Para ibu bapa tidak mempunyai masalah susulan pengumuman pembukaan sesi persekolahan sepenuhnya secara berperingkat mulai 15 Julai ini.

Bagi Syed Norhamizan Syed Abdul Bahrom, 43, walaupun ada sedikit rasa kebimbangan terhadap COVID-19 namun dia yakin Kementerian Pendidikan (KPM) telah menggariskan prosedur operasi standard (SOP) sesuai bagi mengekang penularan wabak tersebut.

“Sebagai ibu bapa kita memang bimbang terhadap kesihatan anak-anak kita kerana pandemik COVID-19 belum berakhir.

“Namun jika dilihat pada perkembangan terkini dengan pembukaan banyak sektor pekerjaan termasuk kebenaran berjemaah di masjid, penularan wabak itu masih terkawal.

“Mahu tidak mahu kita harus akur dengan arahan kerajaan dan yakin dengan SOP yang ditetapkan,” katanya kepada PerakToday, hari ini.

Tambahnya lagi semua pihak termasuk guru dan ibu bapa harus menasihati serta memantau pengamalan SOP terhadap para pelajar.

“Sebelum ini ada tular yang menunjukkan pelajar tidak mengamalkan penjarakan sosial semasa di luar pintu sekolah.

“Justeru saya berharap adanya pemantauan daripada semua pihak. Ibu bapa juga harus mengingatkan anak-anak mereka untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Selain itu tinjauan di beberapa gedung yang menjual pakaian persekolahan di sekitar bandar raya ini kelihatan lengang dan tiada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka mendapatkan kelengkapan persekolahan yang baharu.

Nurul Syazwani Ahmad Abbas, 41 berkata ia kerana kelengkapan persekolahan yang dibeli pada tahun lalu masih boleh digunakan.

“Pakaian persekolahan yang dibeli sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi elok dan disebabkan itu ibu bapa tidak membeli yang baru.

“Ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu masa kini, saya berpandangan kita harus mengamalkan perbelanjaan yang berhemah dan berjimat-cermat,” katanya.

Katanya ibu kepada tiga cahaya mata yang berusia 16 sehingga 22 tahun itu keadaan pembelajaran di sekolah lebih kondusif.

“Sebagai ibu bapa saya juga bimbang dengan risiko jangkitan COVID-19 terhadap anak. Namun kaedah pembelajaran di kelas lebih kondusif berbanding atas talian di rumah.

“Misalnya jika ada keluarga yang tinggal di rumah kecil dan mempunyai masalah dengan perhubungan internet yang kurang stabil. Ia tentu menyukarkan proses pembelajaran anak-anak,” ujarnya.

Semalam di Putrajaya, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan Peralihan di semua sekolah kerajaan akan bermula 15 Julai ini,

Sementara, tarikh pembukaan semula sekolah bagi murid tahun 1 hingga tahun 4 adalah pada 22 Julai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");