Perak Hari Ini
Like

JAS Perak Periksa 46 Premis, Keluarkan Kompaun Berjumlah RM376,000

July 29, 2020
269 Views
0 Comments
2 minutes read
JAS Perak Periksa 46 Premis, Keluarkan Kompaun Berjumlah RM376,000

IPOH: Daripada 46 premis seluruh negeri yang diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, 32 atau bersamaan 60 peratus didapati melakukan pelbagai kesalan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata sepanjang Ops Gempur 2.0 berlangsung selama tiga hari yang berakhir semalam, sebanyak 188 kompaun berjumlah RM376,000 telah dikeluarkan.

Katanya antara kesalahan yang kerap dilakukan ialah berkaitan pelanggaran Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) atau PPKAS (EP) 2009.

Tambah Rosli kesemua premis yang diperiksa itu melebih daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu 38 premis yang mana operasi kali ini turut membabitkan empat premis yang tidak termaktub di bawah pelesenan JAS.

“Sebanyak 47 arahan lapangan telah dikeluarkan yang membabitkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Dalam operasi sama, JAS Perak telah menggantung satu lesen premis yang mana lesen membabitkan lesen pengangkutan,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat JAS Perak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Rosli berkata, tempoh penggantungan lesen itu akan tamat sehingga JAS berpuas hati terhadap pengurusan sisa buangan selain akan melakukan pemantauan ke atas premis yang terletak di Ipoh itu.

“Kita mendapati jumlah sisa buangannya melebihi daripada kapasiti tempat simpanan di premis tersebut. Kita tidak mahu ianya akan ditempatkan di luar kawasan yang sepatutnya.

“Di tambah pula sisa buangan tersebut boleh bertindak balas dengan air hujan yang mana ia akan menghasilkan gas yang tidak baik untuk alam sekitar,” jelasnya.

Selain itu tambah Rosli, dalam Ops Gempur 2.0, JAS Perak turut akan mengeluarkan dua kertas siasatan ke atas dua premis di Sungkai selain 32 kertas siasatan lain bagi kesalahan tidak menjelaskan kompaun.

Ujar beliau, dua kertas siasatan tersebut membabitkan kesalahan berkaitan kualiti udara bersih.

“Jika dilihat pada operasi siri sebelum ini yang dijalankan pada 9 dan 12 Mac, sebanyak 102 kompaun yang dikeluarkan JAS Perak. Namun pada Ops Gempur 2.0 berlaku peningkatan 86 kompaun atau pertambahan sebanyak 84 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa industri yang diperiksa ini lebih memfokuskan kepada hasil pengeluaran dan tidak menitikberatkan kehendak Peraturan Kualiti Alam Sekeliling dalam pengurusan buangan terjadual mahupun mengawal pencemaran.

“Justeru JAS Perak akan bertindak lebih agresif kepada semua premis ini pada masa akan datang bagi memastikan mereka mematuhi kesemua peraturan yang ditetapkan,” tegasnya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.