Perak Hari Ini

Jenazah ADUN Slim Selamat Dikebumikan

TANJUNG MALIM: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selamat dikebumikan di tanah perkuburan Felda Sungai Behrang, dekat sini sekitar jam 9.20 pagi tadi.

Jenazah tiba di di rumah ibunya di sini dari Hospital Bentong, Pahang kira-kira jam 11 malam tadi.

Pagi tadi, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Rahamaniah Felda Sungai Behrang kira-kira jam 8.30 pagi yang diimamkan anak sulungnya, Mohamad Amirul Khamil.

Suasana sedih menyelebungi lebih 1,000 orang yang hadir terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan.

Perjalanan solat jenazah dan pengebumian dikawal pihak polis dan kakitangan kesihatan bagi memastikan ahli keluarga, rakan dan kenalan yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Datuk Asmuni Awi serta Barisan Exco dan ADUN-ADUN Perak.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang.

Allahyarham, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, meninggalkan seorang balu Datin Jamilah Nordin dan tujuh anak.

Mohd Khusairi, yang menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004, mempunyai latar pendidikan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah bertugas sebagai pegawai akhbar untuk ADUN Sukau, Kinabatangan selama tiga tahun bermula 1988.

Anak jati Perak itu meneruskan kerjaya sebagai penyunting di Suara Bersatu milik Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1990 sebelum dilantik menjadi Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Sosial Sabah selama setahun pada 1991 selain menyandang jawatan penyunting Majalah Ahli Penyokong Parlimen pada 1995 sehingga 1997.

Penerima anugerah Pingat Pekerti Terpilih Kerajaan Negeri Perak pada 1998 itu juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 2015.

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), Allahyarham mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada PAS.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");