Berita Hari Ini
Like

JPP Bersatu: Muhyiddin menang tanpa bertanding jawatan presiden

July 17, 2020
200 Views
0 Comments
4 minutes read
JPP Bersatu: Muhyiddin menang tanpa bertanding jawatan presiden

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan presiden Bersatu, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti bulan depan.

Turut menang tanpa bertanding (tidak rasmi) timbalan presiden adalah Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.

Semakan di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu itu menyatakan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu masing-masing, hanya mempunyai seorang calon.

Bagaimanapun Pengerusi JPP Syed Hamid Albar ketika dihubungi Bernama berkata, pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada Ogos ini.

“Secara rasmi tiada calon lain bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, kerana pencalonan sudah ditutup, namun pengumuman rasmi (keputusan) hanya akan dibuat selepas selesai mesyuarat bahagian,” katanya.

Jawatankuasa pemilihan itu semalam mengadakan proses cabutan nombor calon di ibu pejabat parti bagi calon-calon yang layak bertanding, di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Armada dan Srikandi.

Senarai nombor calon itu boleh diakses semua calon dan ahli melalui laman sesawang rasmi JPP Bersatu.

Syed Hamid Albar

Dalam pada itu, seramai 17 calon disenarai bertanding bagi jawatan naib presiden, antaranya Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof.

Jawatan Ketua Armada pula menyaksikan perebutan dua calon iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Exco Armada Muzzamil Ismail.

Jawatan Ketua Srikandi menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan penyandangnya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun, Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas Azlina Mehtab Mohd Ishak, Iza Ismail dan Zuhuraina Makmur.

Bagi MPT, seramai 163 calon bertanding jawatan tersebut.

Persidangan semua bahagian Bersatu akan diadakan serentak pada 22 Ogos yang turut berlangsung pemilihan untuk jawatan tertinggi parti. Persidangan Armada bahagian pula dijadualkan pada 15 Ogos manakala 16 Ogos merupakan persidangan Srikandi bahagian, dengan kedua-dua sayap akan memilih pimpinan tertinggi peringkat pusat sewaktu persidangan bahagian.

Sementara itu semakan di laman sesawang tersebut mendapati tiada calon bagi jawatan pengerusi.

Pada 16 Mac lepas, Dr Mahathir Mohamad disahkan menang tanpa bertanding sebagai pengerusi Bersatu, selepas bekas perdana menteri itu tidak dicabar untuk jawatan berkenaan, setelah proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli MPT ditutup.

Bagaimanapun, keahlian Dr Mahathir dan empat lagi Ahli Parlimen iaitu Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, Ahli MPT Dr Maszlee Malik, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta, selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen, 18 Mei lalu.

Sewaktu penamaan calon untuk jawatan MPT, Mukhriz juga telah diumumkan akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden parti, manakala bagi jawatan timbalan presiden melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Faizal, bekas setiausaha agung Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Armada Selangor yang juga Ketua Armada Ampang Anas Akashah Nazri.

Sementara itu, Syed Hamid Albar dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat calon-calon untuk mencetak nama mereka seperti dikenali umum, pada senarai calon rasmi yang akan diedarkan ke semua bahagian.

Katanya ini termasuk gelaran darjah kebesaran dan gelaran akademik.

“Calon-calon yang berhasrat melakukan perubahan untuk cetakan rasmi nama calon mereka, bolehlah memaklumkan kepada JPP secara bertulis melalui email [email protected] sebelum 25 Julai 2020,” tambahnya.

Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.