Berita Hari Ini

Kafe Tutup Sementara Waktu Selepas Dikunjungi Wanita ‘Gelang Pink’

IPOH – Hanaz Cafe di Bandar Meru Jaya, Ipoh telah memilih untuk tutup selama beberapa hari selepas menjadi tumpuan kerana dikunjungi seorang pelanggan yang diletakkan dalam kuarantin.

Kedai makan itu menerima tempias selepas seorang wanita yang memakai gelang kuarantin dirakamkan menjamu selera di situ.

Menurut laporan, wanita yang didapati negatif COVID-19 dalam ujian pertama kemudian didapati positif dalam ujian kedua, sehingga pihak kedai makan turut dibidas kerana gagal menyaring pelanggan yang datang.

China Press melaporkan, pengusaha restoran memilih untuk menutup kedai selepas terjejas oleh insiden yang menjadi buah mulut netizen itu.

Selepas berbincang dengan pengusaha gerai lain, pihak kedai membuat keputusan untuk tidak berniaga selama dua tiga hari kerana prestasi perniagaan telah menjunam.

Pihak kafe sebelum ini turut mempertahankan bahawa ia mengikuti semua peraturan yang ditetapkan, tetapi tidak berhak untuk menyelak lengan baju pelanggan.

Dalam perkembangan lain, walaupun kerajaan tidak berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan memberitahu banyak restoran gagal mematuhi peraturan, tetapi pengusaha warung kopi menganggarkan hanya terdapat 10 peratus kedai yang dikenakan denda.

Presiden Persekutuan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia dan Singapura, Datuk Hu Su Mong berkata, selain 10 peratus kedai yang didenda kerana gagal mematuhi SOP, kira-kira 20 peratus pelanggan juga dilihat tidak memberi kerjasama.

Katanya, demi mematuhi SOP, pengusaha kedai kopi telah mengurangkan meja dan kerusi dalam kedai, tetapi memanfaatkan ruang di luar kedai untuk meletak meja.

Menurutnya, disebabkan wabak COVID-19, sudah kekurangan pelanggan membabitkan seisi keluarga yang termasuk kanak-kanak kecil yang menjamu selera di kedai kopi. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");