Panasnya Hari Ini

Keluar AMANAH: Isyarat Desak Pucuk Pimpinan Selesai Konflik Dalaman – ADUN Serom

JOHOR BAHRU: Dr Faizul Amri Adnan menegaskan tindakannya meletak jawatan dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah isyarat mendesak pucuk pimpinan menyelesaikan konflik dalaman parti.

Menurut laporan BH Online, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom itu berkata, keputusan itu didasari rasa kecewa kerana konflik dalaman yang berlaku dalam parti ketika ini adalah di pelbagai peringkat dan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti.

“Keputusan peletakan jawatan yang saya buat adalah bagi memberi isyarat kuat kepada pimpinan tertinggi parti untuk menyelesaikan segala konflik dalaman parti di pelbagai peringkat sebagai persediaan untuk AMANAH yang lebih kukuh bagi mengharungi cabaran politik semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan, Faizul Amri memaklumkan beliau tidak akan melompat ke parti lain walaupun mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam AMANAH, namun masih menyokong parti itu dan Pakatan Harapan (PH).

Faizul Amri melepaskan semua jawatannya di dalam AMANAH termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan selain Ahli Jawatankuasa Pimpinan Negeri kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti.

Beliau turut menyatakan tidak lagi berminat untuk menjadi calon mewakili AMANAH Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menjelas lanjut, Faizul Amri berkata, beliau juga tidak akan menjadi pengkhianat kepada rakyat selepas mendapat mandat menjadi wakil rakyat.

Beliau turut mendakwa, surat peletakan jawatannya yang diserahkan melalui WhatsApp pada 21 Julai lalu ditularkan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menangguk di air keruh’.

“Saya ingin menegaskan isu ini adalah perkara dalaman parti namun ditularkan ke umum oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mereka yang cuba menangguk di air yang keruh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");