Panasnya Hari Ini

Kempen ‘Sayangi Minyak Sawitku’ Kini Jadi ‘Sawit Anugerah Tuhan’

KUALA LUMPUR: Kempen Sayangi Minyak Sawitku yang dimulakan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kini sudah dijenamakan semula dengan nama baru, iaitu kempen Sawit Anugerah Tuhan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali di Dewan Rakyat hari ini, dengan menyifatkan nama baru itu adalah “lebih baik” berbanding sebelumnya.

Mohd Khairuddin (PAS- Kuala Nerus) menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR- Hang Tuah Jaya) sama ada kempen Sayangi Minyak Sawitku akan diteruskan di bawah kerajaan sekarang atau tidak.

“Saya telah bergerak untuk mengubah kempen itu kepada yang lebih baik, insya-Allah, namanya iaitu Sawit Anugerah Tuhan.

“Itu pendekatan saya untuk sepanjang saya menjadi menteri,” katanya lapor MalaysiaKini.

Kempen Sayangi Minyak Sawitku dilancarkan Januari tahun lalu oleh mantan menteri industri utama, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) bagi memerangi kempen antisawit dari negara-negara luar.

Ini termasuklah saranan meminum sesudu minyak sawit merah setiap hari.

Kok bagaimanapun menjadi bahan sendaan, ejekan dan kecaman atas usaha tersebut.

Pada 9 Julai, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan amalan meminum minyak sawit merah memang digalakkan kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi, termasuklah vitamin A dan E yang baik untuk jantung, kesihatan mental, untuk diabetes dan sebagainya.

Mohd Khairuddin turut disoal Maszlee Malik (Bebas- Simpang Renggam) adakah kementeriannya bekerjasama dengan kementerian lain bagi memastikan usaha melobi minyak sawit di peringkat antarabangsa bertepatan dengan naratif alam sekitar yang dibangkitkan, terutama di Eropah.

Jawab Khairuddin, kerajaan tidak harus hanya mengikut arus pihak yang menentang, tetapi juga harus tampil dengan naratif kedua.

Lebih-lebih lagi pensijilan Minyak Sawit Mampan (MPSO) sudah pun diwajibkan untuk semua pekebun termasuk pekebun kecil bermula 1 Januari 2020.

“Kerana itu kita buat naratif yang kedua, iaitu bahawa ini adalah anugerah tuhan, bahan makanan yang terbaik untuk dunia.

“Maka di kala mana kita menceritakan kebaikan ini, maka kehendak atau lobi di peringkat Eropah yang sebenarnya menyasarkan untuk meningkat minyak mereka, minyak soya dan sebagainya, akan terkebelakang,” jawabnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");