Perak Hari Ini
Like

Kenyataan Menyamakan Hijrah Nabi Muhammad Dengan Pelarian Bercanggah Dengan Al-Quran – Mufti Perak

July 29, 2020
366 Views
0 Comments
1 minute read
Kenyataan Menyamakan Hijrah Nabi Muhammad Dengan Pelarian Bercanggah Dengan Al-Quran – Mufti Perak

IPOH: Kenyataan yang menyamakan hijrah Nabi Muhammad SAW sebagai pelarian adalah mengelirukan dan bercanggah dengan Al-Quran, Sunnah serta pandangan ulama muktabar.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata terdapat perbezaan antara dua istilah tersebut yang mana hijrah Baginda adalah sebagai strategi mengukuhkan kedudukan dan kedaulatan Islam melalui medium politik yang bersumberkan kepada wahyu.

Manakala katanya istilah pelarian pula merujuk kepada mangsa perang atau kerakusan penguasa yang melucutkan hak warganegara kepada mereka yang sudah berjaya menempatkan diri ke mana-mana negara yang bersimpati dengan mereka.

“Ketika termeterai perjanjian Aqabah antara penduduk Yathrib dan Rasulullah SAW, penduduk Yathrib telah bersetuju untuk melantik Baginda SAW sebagai pemimpin mereka.

“Rasulullah SAW menerima pelawaan penduduk Yathrib dengan Baginda menunggu persetujuan wahyu Allah SWT untuk berhijrah ke Yathrib (yang kini dikenali sebagai Madinah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau berharap agar umat Islam dapat memahami agama Islam melalui sumber yang muktabar dan bukannya merujuk kepada sumber dari Barat yang diambil daripada legasi orientalis.

“Adalah sangat membimbangkan pemahaman seperti ini boleh menimbulkan persepsi negatif dan tidak sihat di kalangan umat Islam, dan menyemarakkan sikap Islamofobia di kalangan bukan Islam.

“Kenyataan ini juga boleh merendahkan kedudukan Islam serta menyamakan darjat Rasulullah dan para sahabat sama seperti pelarian yang lain,” ujarnya lagi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.