Panasnya Hari Ini

Keputusan Permohonan Muhyiddin Batalkan Saman Dr Mahathir 7 Ogos

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Ogos ini bagi memutuskan permohonan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bernama melaporkan, Peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan memberitahu pemberita Hakim Datin Rohani Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak di dalam kamar hari ini.

Rosli berkata beliau menghujahkan bahawa tiada penamatan keahlian yang dibuat oleh parti ke atas Dr Mahathir dan defendan-defendan lain.

“Pertama sekali, Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi dan menurut Perkara 10.2.6 Perlembagaan parti, mereka bukan lagi ahli parti apabila mereka memfailkan saman ini,” katanya.

Rosli yang turut mewakili Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata beliau juga menghujahkan bahawa menurut Seksyen 18C Akta Pertubuhan, sebarang keputusan yang dibuat oleh parti-parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Seksyen 18C diluluskan di Parlimen pada 1999 semasa era Tun Dr Mahathir, dan sekarang beliau berkata peruntukan ini tidak terpakai,” katanya.

Menurut peguam itu, berkata saman tersebut juga pincang kerana Dr Mahathir dan lain-lain menamakan PPBM (Bersatu) sebagai pihak dalam saman sivil.

“Seseorang tidak boleh menamakan pertubuhan atau persatuan dalam saman dan ini jelas dinyatakan dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan. Sesebuah persatuan atau pertubuhan hanya boleh mengemukakan saman atau disaman menerusi penjawat jawatan dalam parti,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, Hamzah, Muhammad Suhaimi dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 17 Jun atas alasan saman tersebut satu tindakan yang remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah, selain Dr Mahathir dan enam plaintif lagi tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman sivil.

Sementara itu, peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan plaintif ketiga, telah menarik balik saman dan tidak lagi dinamakan sebagai plaintif dalam saman berkenaan.

“Bagaimanapun, penarikan balik itu tidak menjejaskan kes. Mahkamah cuma membatalkan saman Syed Saddiq,” katanya.

Pada 18 Jun lepas, mahkamah menolak permohonan injunksi ad-interim yang dikemukakan oleh Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Marzuki Yahya untuk mengekalkan keahlian mereka dalam parti sementara menunggu pendengaran injunksi inter partes berkaitan saman mereka.

Kesemua mereka, termasuk parti yang dinamakan sebagai plaintif ketujuh, memfailkan saman itu pada 9 Jun lepas terhadap Muhyiddin dan empat lagi berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");