Berita Hari Ini

Kerajaan akan bertemu dengan kumpulan LGBT

Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi memberi kefahaman serta membincangkan isu transgender.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pertemuan itu dijangka diadakan dalam tempoh dua bulan lagi bergantung kepada jadual semasa.

Menurutnya, usaha tersebut dilakukan selepas beliau menerima banyak permohonan untuk mengadakan perjumpaan daripada kumpulan berkenaan.

“Saya juga akan mengadakan lawatan ke program dikolaborasi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan NGO untuk sama buat dialog dan perbincangan dengan transgender untuk beri kefahaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Serahan Musa’adah koronavirus (Covid-19) di Dewan Sivik Kampung Sena Rendang, di sini hari ini.

Sementara itu Dr Zulkifli berkata, JAWI tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap kumpulan LGBT sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

Bagaimanapun katanya, kumpulan itu harus menjaga adab dan tidak melampaui batas dalam hidup bermasyarakat.

“Apa yang kita nak tekankan di sini bukan setiap orang kita mahu tangkap tapi (kita akan bertindak) sekiranya ia boleh menggugat emosi orang lain. Cerita ini akan panjang tapi insya-Allah dengan adanya dialog, perbincangan kita boleh harmoni. Saya yakin setiap manusia mahu menuju ke arah kebenaran jadi molek kita duduk bersama cari titik persamaan kebenaran untuk kita ikut dan patuhi.

“Sekurang-kurangnya ada batasan-batasan yang perlu kita hormati ketika kita berada dalam masyarakat, keluarga dan kejiranan,” katanya.

Terdahulu Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) mengecam kenyataan Dr Zulkifli yang memberikan “lesen penuh” kepada JAWI untuk mengambil tindakan terhadap transgender.

ICJ meminta menteri untuk membatalkan arahan itu dengan segera dan mengambil langkah-langkah bagi memastikan perlindungan yang sama dan tiada diskriminasi terhadap semua orang di Malaysia, termasuk golongan LGBT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");