Berita Hari Ini

Kerajaan pertimbang hukuman lebih berat untuk kawal Covid-19

KERAJAAN sedang mempertimbangkan hukuman lebih berat bagi kesalahan melanggar undang-undang kawalan penyakit berjangkit untuk mengekang Covid-19, kata perdana menteri.

Selan itu, kerajaan juga mempertimbangkan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mengekang penularan penyakit itu, kata Muhyiddin Yassin.

Beliau mengumumkan demikian dalam perutusan khas hari ini ekoran laporan mengenai individu yang masih degil untuk membuat ujian saringan kedua selepas menjalani kuarantin.

“Jika perlu, kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan.

“Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya.

Beliau mengingatkan pengembara yang dikuarantin itu supaya menjalani proses berkenaan dengan berdisiplin selama 14 hari di rumah.

“Duduk di bilik yang berasingan dari ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin.

“Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala, maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dengan segera.

“Sekiranya anda gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

“Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.

Katanya, langkah tersebut masih sedang dibincangkan memandangkan pandemik berkenaan masih lagi belum berakhir dalam negara.

Ini berikutan peningkatan jumlah kes baharu kepada dua angka setiap hari sejak beberapa hari lalu serta kemunculan beberapa kluster baharu terutama melibatkan warga yang pulang dari luar negara.

“Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lockdown sekiranya kes Covid-19 meningkat dengan mendadak.

“Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu. Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Ia merupakan perutusan pertama beliau sejak mengumumkan Perintah Kawalan Pegerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasa sehingga 31 Ogos.

Penguatkuasaan itu membolehkan hampir kesemua kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dijalankan semula dengan prosedur operasi khusus.

Sebanyak 13 kluster baharu dikesan sepanjang PKPP termasuk empat yang berpunca daripada individu yang pulang dari luar negara.

Ia melibatkan tiga kes di Sarawak, lima di Melaka, tiga di Terengganu dan dua di Kuala Lumpur.

Sebanyak 15 kes baharu dilaporkan dalam negara semalam, menjadikan keseluruhan 103 kes masih aktif dirawat.

Ia menjadikan jumlah jumlah keseluruhan 8,779 kes di seluruh negara.

Sejumlah hampir 14.5 juta dijangkiti Covid-19 dengan 600,000 kematian di seluruh dunia pada waktu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");