Berita Hari Ini
Like

Kes Adib: PDRM Tunggu Arahan Jabatan Peguam Negara

July 4, 2020
270 Views
0 Comments
3 minutes read
Kes Adib: PDRM Tunggu Arahan Jabatan Peguam Negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas mereka menyiasat kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dan kertas siasatan mengenainya dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC), kata Abdul Hamid Bador.

Menjelaskan perkembangan isu berkenaan, Ketua Polis Negara menjelaskan PDRM bertindak mengikut arahan AGC dengan memperbaiki kekurangan yang ada.

“Terpulang kepada permintaan AGC, kalau perlu kita buat (panggil semula saksi kes Adib untuk lengkapkan kertas siasatan),” katanya seperti dipetik BH Online, hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berdepan kritikan kononnya gagal memberikan keadilan buat Muhammad Adib yang mengalami kejadian tidak diingini semasa bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Pegawai bomba berusia 26 tahun itu menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018 selepas bergelut dengan kecederaan parah akibat diserang dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pdaa 26 Nov tahun yang sama.

Antara yang lantang mengkritik cara kerajaan PH mengendalikan isu itu ialah PAS dan Umno. Kini kedua-dua parti terbabit menjadi kerajaan. Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi hal ehwal undang-undang.

Peguam Negara juga sudah digantikan, daripada Tommy Thomas sebelum ini kepada Idrus Harun.

Pada 21 Jun lalu Takiyuddin memberitahu media, kerajaan kini menunggu polis agar menahan suspek yang membunuh Muhammad Adib bagi membolehkan kes itu diteruskan.

“Oleh sebab itu pihak polis perlu dan sedang menjalankan siasatan untuk kenal pasti pelaku. Itu yang sudah dilaporkan kepada kabinet.

“Jadi kerajaan atau pihak Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan pihak polis, kita tunggulah,” katanya.

PAS pula mendakwa “rakyat berasa lega”dengan penjelasan Takiyuddin tersebut.

Semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dipetik BH Online sebagai berkata, Polis Diraja Malaysia perlu memanggil semula semua saksi kes berkenan bagi mengesan pembunuh sebenar.

“Kes Adib sudah disahkan sebagai kes jenayah dan bukannya kemalangan. Bagaimanapun, hasil siasatan polis sebelum ini tidak dapat mengesan pelaku sebenar.

“Namun, apabila kes ini dibuka semula, saya berharap Kementerian Dalam Negeri dapat meneliti kembali dan bertemu dengan lebih 100 saksi berkaitan kes ini dan berharap penjenayah sebenar dapat ditemukan kali ini,” katanya.

Abdul Hamid berkata isu teknikal dan proses memburu saksi adalah satu daripada sebab siasatan kes tersebut mengambil tempoh yang lama.

“Polis berhadapan dengan isu teknikal selain nak cari saksi ambil masa.

“Ada maklumat yang diterima tidak tepat dan tidak mendalam, ia sedikit sebanyak memperlahankan tindakan polis,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.