Berita Hari Ini

Kes culik dan bunuh gemparkan penduduk Rawang

SUNYI dan menakutkan,begitulah keadaan di Jalan Mawar 2 Taman Kosaso, Rawang walaupun pada waktu tengahari.

Kawasan ini terdiri daripada 50 isi rumah berpendapatan rendah yang terletak jauh di perkampungan Sungai Buaya di Selangor.

Penduduk di kawasan perumahan separa bandar ini masih tidak percaya kes penculikan dan pembunuhan seorang pemaju hartanah berusia 55 tahun yang diculik di sebuah rumah di jalan ini, dengan rumput liar dan bahan binaan yang dibuang di halaman rumahnya.

Mangsa Arumugam Renganathan ditawan di rumah ini selama beberapa hari sehinggalah salah seorang penculiknya menunjukkan mayatnya yang hampir reput kepada polis di hutan berhampiran kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

Laporan menyatakan Arumugam diculik pada 10 Jun ketika beriadah di Bandar Sri Damansara.

Dia dipercayai ditawan di rumah itu sebelum dibunuh dan mayatnya dibuang pada 26 Jun.

Baru-baru ini The Malaysian Insight mengunjungi kawasan kejiranan berkenaan dan diberitahu bahawa beberapa lelaki menggunakan rumah itu sebagai tempat melepak pada hujung minggu.

“Tidak ada apa-apa selain bahan binaan yang disimpan di dalam dan di luar rumah,” kata seorang remaja.

“Saya berkenalan dengan beberapa orang yang melepak di luar sana. Tidak ada apa yang pelik tentang mereka. Mereka datang ke sini untuk minum, menghabiskan beberapa jam di rumah dan pergi.

“Tidak seorang pun daripada kami mengesyaki ada yang salah sehingga polis datang pada 27 Jun, sehari selepas mayat itu dijumpai dan menangkap mereka,” katanya.

Remaja itu berkata dia terkejut mendapat tahu beberapa lelaki yang dikenalinya dari rumah itu ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh.

“Saya tidak pernah menyangka jenayah boleh berlaku di sini. Keluarga saya juga tak percaya, mungkin kerana kes ini serius,” katanya.

Lokasi mayat mangsa pemaju hartanah berusia 55 tahun yang diculik sebelum dibunuh dan mayatnya dibuang di kawasan hutan berhampiran Taman Kosaso, Rawang. – Gambar The Malaysian oleh Kamal Ariffin, 5 Julai, 2020.
Lokasi mayat mangsa pemaju hartanah berusia 55 tahun yang diculik sebelum dibunuh dan mayatnya dibuang di kawasan hutan berhampiran Taman Kosaso, Rawang. – Gambar The Malaysian oleh Kamal Ariffin, 5 Julai, 2020.

Seorang suri rumah yang tinggal bersebelahan dengan lokasi jenayah berkata dia terkandas di Pahang kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pulang semula ke rumah itu beberapa hari sebelum kes itu didedahkan.

“Saya tidak mendengar atau melihat apa-apa. Saya masih dalam pantang jadi saya tak boleh keluar.

“Suatu hari ada ramai polis dan orang dengan tangan bergari dibawa masuk ke dalam rumah.

“Dari situ baru saya dengar ada seseorang diculik dan dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke tempat lain.

“Kawasan perumahan ini sangat lengang, sunyi dan menakutkan. Jadi setiap kali saya bersendirian, saya rasa tak selesa,” katanya.

Mangsa kenal penculik

Dilaporkan bahawa Arumugam yang berpangkat “Datuk Seri” diculik tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis.

Dia kemudian dibawa ke rumah di Taman Kosaso di mana dia ditawan selama 17 hari.

Dipercayai Arumugam dipukul oleh penculik sebelum mayatnya dibuang di Batu 27, Rawang berhampiran Bandar Tasik Puteri.

Bedah siasat dilakukan pada mayat mangsa Khamis lalu dan polis masih menunggu keputusan punca kematian.

Polis sebelum ini berkata panggilan tebusan dibuat kepada keluarga Arumugam di mana pemanggil itu menuntut RM150 juta untuk pembebasannya. Tiada wang tebusan yang dibayar.

Difahamkan beberapa panggilan dibuat kepada keluarga dan polis berjaya lakukan siasatan.

“Kami dapat mengesan suspek. Daripada seorang suspek ke suspek yang lain, sehingga kami dapat mengesan 11 daripadanya.

“Kami percaya Arumugam kenal penculik berkenaan dan sebab itu dia dibunuh,” kata sumber.

Di antara mereka yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan yang bergelar “Datuk Seri”.

Suspek ini merupakan calon parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-13.

Sumber menambah bahawa mangsa dan “Datuk Seri” saling mengenali kerana kedua-duanya terlibat dalam perjanjian harta tanah yang melibatkan jutaan ringgit, yang bertukar menjadi pengkhianat.

Polis kini menyiasat latar belakang mangsa dan “Datuk Seri”.

Setakat ini 11 suspek  ditahan. Tahan reman terhadap mereka dilanjutkan sehingga 10 Julai.

Polis percaya 10 suspek termasuk seorang warga Bangladesh bekerja untuk “Datuk Seri” berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");