Panasnya Hari Ini

Kes Rosmah Mungkin Tangguh, Mahu Gopal Sri Ram Tunjuk Sijil Mendakwa

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor akan bersambung hari ini sekitar jam 9.30 pagi ini.

Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak ketika ini sedang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Prosiding ini dijangka bersambung selama 31 hari bermula hari ini berselang seli antara Julai sehingga November tahun ini.

Antara tarikh yang telah ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ialah 13 sehingga 16 Julai; 3 hingga 6 Ogos; 17 hingga 19 Ogos; 7 hingga 10 Sept; 14 hingga 17 Sept; 5 hingga 8 Okt; 2 hingga 5 Nov dan 16 hingga 19 Nov.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn memaklumkan pihaknya akan memanggil sembilan lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu dan tiga lagi penyataan saksi akan diserahkan kepada pihak pembelaan hujung bulan ini.

Untuk makluman, setakat ini seramai 12 saksi pendakwaan telah tampil memberi keterangan dan hari ini pembelaan akan meneruskan sesi soal balas ke-12, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (MOE) Datuk Seri Alias Ahmad.

Bagaimanapun MalaysiaGazette juga difahamkan Rosmah berkemungkinan akan meminta perbicaraan yang dijadualkan sebentar lagi ditangguhkan sementara menunggu permohonan memaksa Pendakwa Raya ad hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan lesennya untuk mendakwa.

Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kadir mendedahkan pihaknya telah mengemukakan permohonan itu Rabu minggu lepas dan Mohamed Zaini berkemungkinan akan membuat keputusan berhubungnya kelak.

Sri Ram didakwa tidak mengemukakan sijil sebelum perbicaraan bermula dan pihak pembelaan mahu sijil itu diserahkan kepada hakim.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustaffa Kunyalam berkata, pihak pendakwaan akan membantah permohonan itu juga hari ini.

Sri Ram yang juga merupakan seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan telah dilantik sebagai Pendakwa Raya pada 31 Ogos 2018 untuk menyelia siasatan dan mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib dan lain-lain.

Selain itu, Gopal Sri Ram juga telah diberikan tanggungjawab untuk mengetuai pendakwaan kes rasuah Rosmah ketika ini.

Rosmah didakwa telah menerima suapan rasuah daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sebelum ini sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan.

Namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. –MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");