Berita Hari Ini

KKM Kesan Dua Lagi Kluster Baharu Hari Ini

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua lagi kluster baharu jangkitan Koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia terdiri daripada Kluster Bukit Tiram dan Kluster Syarikat Pembinaan Kuching.

Katanya, Kluster Bukit Tiram dikenal pasti apabila terdapat dua kes positif yang dilaporkan di sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor membabitkan individu bukan warganegara yang menetap di Malaysia dan kakitangan pusat tersebut.

“Kedua-dua kes positif ini mula mengalami gejala pada 15 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan segera sebelum melakukan saringan Covid-19 dan dikesan positif pada 24 Julai 2020.

“Sehingga 25 Julai 2020, terdapat dua kes positif dan 10 kontak rapat telah dikenal pasti dalam kluster ini. Kesemua mereka telah disaring dan masih menunggu keputusan.

“Siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (active case detection) sedang diteruskan. Punca jangkitan kluster masih disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, bagi Kluster Syarikat Pembinaan Kuching, Dr Noor Hisham berkata, kes pertama merupakan kes positif Covid-19 yang dikesan pada 11 Julai 2020 (iaitu kes ke-8715).

Katanya, melalui siasatan yang telah dijalankan, sebanyak 55 kontak rapat telah dikenal pasti terdiri daripada lima rakan serumah dan 50 rakan sekerja memetik laporan Sinar Harian.

“Kesemua kontak ini telah disaring dan didapati negatif Covid-19. Kluster ini dikenal pasti apabila satu kes positif (iaitu kes ke- 8881) dikesan daripada saringan ulangan kontak rapat kes ke-8715.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) masih diteruskan. Punca jangkitan kluster masih dalam siasatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");