Perak Hari Ini

‘Kuew Tiaw Kerang Atan’ Tambat Selera Pelanggan Sejak 20 Tahun

IPOH: Jika sebelum ini dia ‘menggoreng’ gitar kini Atan berjaya menambat selera pengunjung dengan menggoreng kuetiau kerang.

Warung Kuew Tiaw Kerang Atan yang terletak di Jalan Bercham, dekat sini menjadi antara lokasi pilihan wajib khususnya yang menggemarkan menu tersebut.

Pengusaha warung, Jamaluddin Johari, 49, atau mudah disapa Atan berkata resipi kuetiau kerang itu dihasilkan sendiri olehnya sejak 23 tahun lalu.

“Pada asalnya saya sering berkunjung ke sebuah kedai makan yang ada menjual kuetiau di Merdeka Garden. Kemudian timbul keinginan mahu memasak kuetiau itu sendiri.

“Saya hanya melihat cara masakan oleh tukang masak di situ dan bahan-bahan dalam penyediaannya.

“Seterusnya saya mencuba untuk memasak dengan bahan dan cara yang sama di rumah saya, dan ianya menjadi,” katanya kepada PerakToday, di sini, hari ini.

Dia yang juga bekas pemain gitar kumpulan rock terkenal 90-an, SYJ dan Sofea itu berkata kini dia lebih selesa menumpukan kepada perniagaannya itu bersama-sama keluarga.

“Dahulu dah pusing satu Malaysia buat persembahan, sekarang dah berhenti dan terus berniaga,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Tambahnya resipi kuetiaunya itu turut diturunkan kepada anak-anaknya walau bagaimanapun katanya para pelanggan lebih menggemari air tangannya.

Katanya lagi premis perniagaannya sebelum ini telah berpindah dari satu tempat ke satu tempat di sekitar bandar raya ini yang mana pada asalnya menyewa dan kini berjaya memiliki tapak perniagaan sendiri.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah yang bersama 23 tahun lalu. Ada pelanggan yang sudah meninggal dunia dan ada yang sudah mempunyai cucu.

“Saya tidak tahu. Mungkin tidak terlalu sedap tetapi mereka seronok di sini. Sebab kami di sini bukan sekadar makan. Kalau boleh kami akan layan pelanggan kami sehingga menjadi rakan,” katanya lagi.

Selain kuetiau kerang, antara menu lain yang terdapat di situ adalah kuetiau ayam, kuetiau udang, kuetiau telur, roti bakar, ayam goreng, mi kari, mi sup dan nasi lemak.

Warung Kuew Tiaw Kerang Atan dibuka setiap hari kecuali Selasa, bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 11.30 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");