Berita Hari Ini

Laporan Audit 2018: Hukuman Terhadap Kecuaian Pegawai Terlalu Ringan

PUTRAJAYA: Jabatan Audit Negara berpendapat ada antara hukuman dikenakan jabatan terhadap pegawai dan kakitangan yang terbabit kecuaian, ketidakcekapan dan ketidakakuran, sebagai terlalu lembut dan ringan.

Bagaimanapun, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata pihaknya menghormati keputusan jabatan terbabit kerana ia berkemungkinan berlaku selepas Jawatankuasa Siasatan Dalaman di peringkat yang menyiasat sesuatu kes itu, mengambil kira pelbagai faktor penentuan hukuman.

Memetik laporan BH Online, beliau berkata, Jabatan Audit Negara hanya membuat audit bagi menentukan ketidakpatuhan saja dan tidak boleh campur tangan terhadap tindakan jabatan.

“Cuma kadang-kadang ada kita berasakan bahawa jabatan agak berlembut yang mana hukuman agak ringan tetapi Jabatan Audit Negara tidak boleh campur tangan kerana kita pun buat audit sahaja, menemukan ketidakpatuhan sahaja.

“Kita rasa ada perkara yang tidak kena dan perlu hukuman yang lebih keras tapi jawatankuasa penyiasatan lakukan siasatan mereka mungkin mengambil faktor lain yang Jabatan Audit Negara tidak tahu.

“Mungkin Jabatan Audit Negara nampak hukuman itu ringan tetapi jabatan mungkin mengambil faktor-faktor tertentu atau faktor mitigasi yang boleh mengurangkan hukuman berkenaan,” katanya ketika membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2018 Siri 3.

Nik Azman berkata, jabatan itu sentiasa mengadakan audit susulan apabila ada penemuan tertentu dalam agensi yang diaudit.

Memberikan contoh, beliau berkata, jika wujud situasi terlebih bayar ditemui dalam siasatan audit, pihaknya akan membuat susulan lebih mendalam untuk melihat apa dan kenapa ia berlaku serta siapa bertanggungjawab dan yang memberi kelulusan.

Selepas itu mesyuarat akan diadakan dengan polis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman di peringkat jabatan atau kementerian.

Ia bagi melaksana dan mengenal pasti sama ada berlaku kesilapan atau salah guna kuasa atau kecuaian dan tindakan sewajarkan akan dilakukan oleh jawatankuasa terbabit.

Sementara itu, Nik Azman berkata, tindakan susulan sudah diambil terhadap seramai 1,000 pegawai berdasarkan LKAN Tahun 2012 hingga 2018, mengikut laporan yang dikemaskini hingga 5 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 255 pegawai sudah dikenakan hukuman, 604 dibebaskan manakala 141 masih dalam prosiding.

Seramai 141 diberikan amaran; 26 individu dikenakan tindakan tangguh pergerakan gaji; 11 individu didenda, 10 diturunkan gaji, sembilan didenda dan diberi amaran.

“Sembilan individu dikenakan tindakan membayar surcaj dan amaran; tujuh diturunkan gaji dan diberikan amaran, tiga dibuang kerja manakala seorang diturunkan pangkat.

“Seramai 29 pegawai dikenakan surcaj; dua dijatuhkan hukuman oleh mahkamah; dua dikenakan denda dan surcaj; seorang dikenakan tindakan turun gaji dan denda serta seorang dikenakan tindakan turun pangkat dan amaran,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");