Berita Hari Ini
Like

Malaysia Berani Naikkan Garis Kemiskinan Kepada RM2,208 – Bekas Pelapor Khas PBB

July 12, 2020
542 Views
0 Comments
2 minutes read
Malaysia Berani Naikkan Garis Kemiskinan Kepada RM2,208 – Bekas Pelapor Khas PBB

KUALA LUMPUR – Bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston telah memuji komitmen Malaysia menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 daripada RM980.

Bernama melaporkan menerusi perkongsian di akaun twitternya baru-baru ini, profesor undang-undang dan ketua Pusat Hak Asasi Manusia dan Keadilan Global di New York University School of Law itu berkata kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berani untuk menetapkan garis kemiskinan berdasarkan realiti semasa.

“Had garis kemiskinan yang dilaporkan baru-baru ini adalah dua kali ganda berbanding sebelumnya dan keputusan kadar garis kemiskinan secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Menyelaraskan garis kemiskinan adalah langkah utama. Cabarannya pada masa ini adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif dan memberikan ketelusan data yang lebih luas bersesuaian dengan apa yang digunakan oleh negara-negara demokratik,” kata beliau.

Selain daripada itu, beliau berkata kadar kemiskinan baharu iaitu 5.6 peratus daripada 0.4 peratus, hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh kebanyakan penganalisis bebas dan telah menyarankan agar kerajaan memasukkan tanda aras yang lebih realistik dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK telah disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semakan PGK itu adalah berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Lebih 400,000 isi rumah di negara ini bagi tahun 2019 didapati berada pada paras kemiskinan berdasarkan metodologi PGK yang baharu.

Komen & Pendapat

Comments are closed.