Perak Hari Ini

MB Perak Terkilan, Tidak Sempat Serah Surat Lantikan Kepada ADUN Slim

TANJUNG MALIM: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluahkan rasa terkilan kerana tidak berkesempatan menyerahkan satu surat lantikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Katanya surat lantikan sebagai Pengerusi Lumut Maritime Terminal itu telah ditandatanganinya pagi semalam sebelum Allahyarham dilaporkan meninggal dunia pada sebelah petang.

“Baru-baru ini beliau ada datang ke rumah saya, kami makan durian bersama-sama.

“Sebenarnya pada jam 11 pagi semalam, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, saya sudah menandatangani satu surat lantikan kepada Allahyarham untuk dilantik sebagai Pengerusi Lumut Maritime Terminal.

“Nampaknya tidak sempat saya serahkan kepada Allahyarham,” katanya ketika ditemui pemberita di Al-Masjid Rahmaniah, Felda Sungai Behrang, di sini, hari ini.

Sementara itu Ahmad Faizal menyifatkan pemergian Mohd Khusairi sebagai kehilangan peribadi selain menganggap Allahyarham sebagai abang kandung.

“Sewaktu awal melibatkan dalam politik, beliau antara orang yang mula-mula mengajar saya untuk menjadi seorang ahli politik yang baik,” katanya selain menambah Allahyarham turut disenangi kawan dan lawan.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Felda Sungai Behrang kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Sementara itu, adik Allahyarham, Othman Abdul Talib, 55 berkata keluarganya masih terkejut dengan pemergian Mohd Khusairi.

“Setahu kami arwah tidak ada apa-apa sejarah penyakit sebelum ini. Kami sekeluarga pun tidak tahu sama ada arwah apa apa-apa penyakit atau tidak. Kami terkejut dengan pemergian arwah,” katanya.

Ujar anak kelima daripada lapan adik beradik itu berkata kali terakhir dia berjumpa dengan abangnya yang juga anak ketiga itu sebelum waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Pada masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Mohd Khusairi pada Sabtu minggu lalu.

“Pada Sabtu kami ada buat program permukiman ADUN-ADUN UMNO di dusun dia. Kami meluangkan masa makan dan berkelah bersama-sama.

“Ketika itu arwah nampak terlalu gembira. Tiada tanda-tanda arwah ada sakit. Malah arwah ada mencadangkan untuk diadakan permukiman yang sama kali kedua.

“Kami amat terasa pemergian arwah kerana baru sahaja berjumpa Sabtu lalu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");