Berita Hari Ini

Menteri: Lebih 60,000 Pekerja Diberhenti Sejak Awal Tahun

TAPAH: Seramai 64,495 pekerja pelbagai sektor di seluruh negara kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan oleh pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah lebih tinggi berbanding kadar 55,000 orang diberhentikan kerja yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi pekerjaan.

Saravanan berkata kerajaan mengambil beberapa langkah, antaranya memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) bermula 15 Jun bagi membantu pekerja yang diberhentikan.

“Sehingga 23 Julai lalu, 16,198 majikan membuat pendaftaran menerusi insentif ini dan daripada jumlah itu, 2,240 membuat pengambilan pekerja dan 6,928 pekerja diambil bekerja.

“Pada masa sama kita mengumumkan tidak membenarkan pekerja asing dibawa masuk ke negara ini, dan bersetuju dengan pendapat majikan untuk mengambil semula pekerja atau apabila ada sektor yang ditutup, pekerja dari sektor tertentu akan berpindah ke sektor diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian karnival dan pelancaran Inisiatif PenjanaKerjaya Perkeso di Dewan Merdeka di sini, hari ini.

Hadir sama ketua setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Jamil Rakon; pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Mohd Jeffry Joakim; pengerusi Lembaga Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Nelson Renganathan dan pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass.

Sebanyak 7,000 kekosongan jawatan ditawarkan dan lebih 20 majikan mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka di karnival itu yang berlangsung dari 9 pagi hingga 4.30 petang.

Saravanan berkata, program karnival PenjanaKerjaya akan diperluaskan di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak bagi membantu ramai lagi individu yang memerlukan pekerjaan.

Menurutnya di Perak, 420 majikan mendaftar di bawah program PenjanaKerjaya dan daripada jumlah itu, 147 menggajikan pekerja dan 510 pekerja berjaya mendapat pekerjaan.

“Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di Perak pada suku pertama tahun ini adalah 3.4% dan menurut portal Perak hari ini, pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun pula adalah pada kadar 5%.

“Berdasarkan statistik pejabat SIP Perkeso, sejak Januari hingga 15 Julai tahun ini, seramai 3,472 pekerja yang kehilangan pekerjaan di Perak berdaftar dengan SIP,” katanya. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");