Berita Hari Ini

MTUC Gesa Kerajaan, BNM Lanjut Tempoh Moratorium 6 Bulan Lagi

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah untuk memastikan pihak bank melanjutkan tempoh moratorium sedia ada kepada sekurang-kurangnya 6 bulan lagi.

Dalam kenyataan hari ini, setiausaha agungnya, J Solomon berkata, lanjutan itu perlu diberikan terutama kepada kumpulan pekerja sasaran yang masih tidak mampu untuk membayar balik pinjaman.

Ini akan merangkumi majoriti daripada 800,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan sehingga April tahun ini dan ribuan lagi yang terpaksa mengalami pemotongan gaji atau diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing, katanya.

Beliau berkata, untuk bank mengamalkan sikap “perniagaan seperti biasa” serta mengharapkan pekerja yang masih dibelenggu kehilangan pekerjaan dengan memiliki sedikit atau tiada pendapatan kembali membayar balik pinjaman adalah tindakan kejam, selain tidak berperikemanusiaan terhadap peminjam.

J Solomon

“Perangkaan rasmi jelas menunjukkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan disebabkan kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Pembukaan semula ekonomi pula satu proses yang perlahan, justeru, masa yang lebih panjang diperlukan untuk pekerja dapat kembali bekerja dan membayar balik pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan dan BNM tidak seharusnya meragui bahawa sebilangan besar tenaga kerja adalah jauh daripada bersedia untuk membayar balik pinjaman kereta dan rumah mereka.

Sekiranya bank terus bertegas untuk “mengutip pinjaman”, maka dijangkakan peningkatan kehilangan kenderaan dan kediaman dalam kalangan golongan pekerja, sekali gus mengakibatkan penderitaan yang tidak tergambarkan akan dialami mereka dan keluarga mereka, katanya.

Solomon berkata, kementerian dan BNM tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka untuk memastikan moratorium itu dilanjutkan selama 6 bulan lagi bagi seluruh kumpulan B40 dan M40, serta semua pekerja yang kehilangan pekerjaan tanpa mengira skala gaji mereka.

Lanjutan tempoh moratorium juga perlu diberikan kepada syarikat yang mempunyai pinjaman kerana mereka turut mengalami kesukaran untuk kekal bertahan semasa tempoh pandemik ini, katanya.

Beliau berkata, tidak wujud persoalan mengenai bank mengalami kerugian susulan moratorium kerana pinjaman tidak dihapus kira sebaliknya hanya pembayaran ansuran bulanan ditangguhkan sehingga ekonomi kembali normal.

“Sekiranya berlaku, hanya keuntungan sahaja yang mungkin berkurangan disebabkan kerugian faedah pelaburan semula dan kos mudah tunai.

“Kerugian faedah pelaburan semula, bagaimanapun tidak dapat dielakkan berikutan kemerosotan akibat pandemik ini,” katanya.

Pada 2019, semua bank di Malaysia mencatatkan keuntungan berbilion ringgit, seperti yang direkodkan selama bertahun-tahun.

Dalam menghadapi Covid-19, menteri kewangan dan BNM berulang kali mengatakan sektor perbankan tetap kukuh dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.

Solomon berkata, angka BNM menunjukkan kedudukan mudah tunai dan modal lebihan sistem perbankan masing-masing berjumlah RM199.6 bilion dan RM159 bilion, melebihi tahap minimum peraturan.

Menurut BNM, ini membolehkan bank di Malaysia memainkan peranan utama dalam membantu isi rumah dan perniagaan untuk pulih daripada kejutan pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan sektor perbankan kukuh dan rancak yang dengan mudah dapat memberikan lanjutan 6 bulan lagi kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Semalam BNM berkata tempoh moratorium 6 bulan pembayaran ansuran bulanan untuk pinjaman kenderaan dan rumah yang akan berakhir 30 September ini mungkin tidak dilanjutkan.

Ia berkata setakat 19 Jun, 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak ia berkuat kuasa pada 1 April 2020.

-Bernama

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM30.9 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium oleh institusi kewangan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");