Berita Hari Ini

Operasi SAR tragedi bot terbalik tumpu permukaan laut

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa dalam tragedi bot terbalik dan karam Isnin lepas di perairan Bachok, disambung semula pada pukul 7.00 pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata pencarian yang memasuki hari kelima hari ini akan diperluaskan ke radius 400 batu nautika persegi.

Katanya, operasi SAR hari ini membabitkan 81 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi, selain daripada bantuan para nelayan.

“Pencarian hari ini akan difokuskan pada permukaan laut, dan bermula di titik penemuan mangsa keenam malam tadi, dan menghala ke arah Pulau Perhentian.

“Pasukan SAR akan menggunakan 10 aset milik Maritim Malaysia dalam usaha mencari dua lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu Arman Ismail, 43, dan Che Wadi Bakar, 40-an,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Setakat ini, enam mangsa yang meninggal dunia telah ditemukan sejak operasi SAR dilancarkan Isnin lepas iaitu; Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an, Ahmad Syafiq Che Alim, 30 dan Harun Daud, 57.

Seramai 12 daripada 20 mangsa terselamat dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 malam Isnin lepas itu, dengan kesemua mangsa berumur antara 18-60 tahun.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");