Berita Hari Ini

Orang Asli Batu Gong Di Chini Harap Tidak Lagi Terpinggir

PEKAN – Penduduk Orang Asli di kawasan Batu Gong dekat sini berharap wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang baharu dapat membantu mereka mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih yang sempurna, selain jalan berturap.

Menurut Bernama, dalam kawasan itu, terdapat lebih kurang 40 keluarga yang menetap berselerakan tanpa kemudahan asas walaupun ada antara rumah penduduk terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama Lebuhraya Segamat-Kuantan.

Difahamkan, usaha membawa kemudahan seperti elektrik dan air sukar dilakukan kerana penduduk di kawasan itu tinggal berjauhan antara satu sama lain berbanding penduduk Orang Asli di beberapa kawasan lain dalam DUN itu yang tinggal berkelompok.

Ketua Kampung Orang Asli Gantung Geriang, Tom Busu, 63, berkata disebabkan tiada bekalan elektrik, penduduk terpaksa berkongsi duit membeli minyak bagi kegunaan generator memastikan kediaman masing-masing bercahaya pada waktu malam.

Ujarnya, sewaktu pelaksanaan awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak mempunyai wang sehingga terpaksa mencatu menggunakan pelita minyak tanah kerana rata-rata bekerja sendiri dan menoreh getah.

“Sekarang masuk hutan pun belum tentu dapat menampung kehidupan sekeluarga sebabnya hasil hutan makin menyusut, jadi hasil yang dapat pun cukup-cukup makan sahaja,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, set generator terpakai bernilai hampir RM3,000 yang dibelinya kira-kira lima tahun lepas untuk tujuan menerangi kediaman yang dikongsi dengan enam rumah lain, semakin tidak berfungsi dengan baik.

Dari segi bekalan air pula, Tom, daripada suku Jakun itu berkata mereka mempunyai telaga untuk digunakan bersama, selain menggunakan parit berhampiran sekiranya bekalan air terputus.

“Cuma kami berharap kerajaan sediakan bekalan air secara terurus, sama seperti di kawasan rumah kampung yang lain,” katanya.

Tom yang mempunyai 14 cahaya mata berkata keperluan itu kian mendesak apabila generasi ketiga akan mewarisi kawasan itu tidak lama lagi, ditambah pula dengan zaman yang semakin maju dan canggih.

Bagi Yatim Bakar, 61, sepatutnya mereka boleh mendapat bekalan elektrik kerana terdapat tiang elektrik berdekatan bagi kegunaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kampung kami tidaklah jauh dari jalan besar. Malah ada tiang elektrik berdekatan dan kenapa tidak boleh ditarik ke kampung kami? Jaraknya tidak sampai satu kilometer pun,” katanya.

Sementara itu, Miah Chik, 53, meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan membina jalan berturap dari jalan utama menghubungkan kampungnya demi keselamatan penduduk setempat.

Mungkin ada sedikit sinar buat penduduk di kawasan itu apabila wakil rakyat baharu DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain mahu mengotakan janji sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini baru-baru ini bahawa beliau akan memberi tumpuan seimbang kepada tiga penempatan dalam DUN itu iaitu kawasan Felda, kampung tradisional dan kampung Orang Asli.

Mohd Sharim, 41, yang menang PRK DUN Chini Sabtu lalu, berkata beliau mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Beliau berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan bagi tujuan itu, beliau akan bertemu dengan semua pemimpin masyarakat setempat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");