Perak Hari Ini

PAC Perak Gesa Diserahkan Segera Laporan Audit MAPS

IPOH: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak menggesa agar PricewaterhouseCoopers (PwC) dapat menyerahkan segera laporan audit forensik audit berkenaan Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

Pengerusi PAC Perak, Datuk Abdul Manaf Hashim berkata ia kerana kerajaan negeri dan Perak Corporation Berhad (PCB) telah membayar sejumlah RM400,000 bagi melaksanakan proses audit tersebut.

“Berdasarkan laporan sebelum ini mengatakan laporan itu telah siap dan akan dibentangkan. Namun sehingga hari ini PAC masih belum menerima laporan audit tersebut.

“Saya difahamkan PCB dan Kerajaan Perak masing-masing telah membayar RM200,000 kepada PwC untuk laporan forensik audit tersebut.

“Ini menjadi tanda tanya kepada kami. Justeru diharap PwC dapat segera menyerahkan laporan tersebut kepada PAC Negeri,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu itu, beliau berharap agar laporan itu dapat diterima PAC Negeri sebaiknya sebelum tiba mesyuarat PAC sesi yang akan datang.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat PAC Perak yang dihadiri Timbalan Pengerusi PAC Negeri merangkap ADUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin; ADUN Temengor, Salbiah Mohamed, ADUN Selingsing, Mohd Noor Dawoo, ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong serta Setiausaha Dewan Negeri Muhammad Nazri Abdullah.

Dalam mesyuarat sama turut disentuh berkenaan Syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd yang dilantik sebagai syarikat konsesi bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di negeri ini.

Abdul Manaf berkata terdapat rungutan dalam kalangan rakyat berkenaan kerja-kerja tersebut yang dikatakan tidak memuaskan.

Katanya antara punca rungutan itu disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan Puncak Emas Infra tidak berbeza dengan SOP yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Selepas dikaji perjanjian penyelenggaraan itu, terdapat hampir 900km jalan di bawah PBT tang tidak tersenarai di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Apabila ini berlaku, syarikat tersebut tidak dapat menjalankan kerja-kerja menyelenggara kerana tiada peruntukan yang ditetapkan.

“Satu lagi masalah apabila kawasan-kawasan lapang yang perlu diuruskan PBT juga tidak termasuk dalam jadual penyelenggaraan MARRIS,” katanya lagi.

Justeru tambah beliau, PAC Perak akan menilai semula keputusan sama ada kontrak Puncak Emas Infra wajar disambung bagi tempoh lima tahun lagi atau sebaliknya.

“Kita akan dapatkan maklumat daripada PBT sama ada dengan adanya syarikat itu ianya dapat menjimatkan kos PBT atau sebaliknya. Kita akan menilai semua perkara ini,” jelasnya lagi.

Katanya, kontrak konsesi syarikat yang bernilai RM185 juta bagi tempoh lima tahun itu akan berakhir Julai 2025.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");