Berita Hari Ini
Like

Pakar patologi, 5 lelaki fail rayuan terhadap hukuman mati bunuh Kevin Morais

July 13, 2020
199 Views
0 Comments
2 minutes read
Pakar patologi, 5 lelaki fail rayuan terhadap hukuman mati bunuh Kevin Morais

PAKAR patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran dan lima lelaki mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, yang mayatnya ditemukan dalam tong dram berisi konkrit, lima tahun lalu.

Keenam-enam perayu memfailkan notis rayuan melalui peguam mereka di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah, di Kuala Lumpur hari ini.

Mereka adalah Dr Kunaseegaran, 57, pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 49, dan empat penganggur,  R. Dinishwaran, 28; A.K. Thinesh Kumar, 27; M. Vishwanath, 30; dan  S. Nimalan, 27.

Peguam N. Sivananthan mewakili Kunaseegaran manakala Datuk Sheelan Arjunan mewakili lima individu berkenaan.

Berdasarkan notis itu, mereka mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan selepas tidak berpuas hati dengan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah pada 10 Julai.

Sivananthan berkata notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi pihak Dr Kunaseegaran, difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini dan selepas pihak pembelaan menerima rekod rayuan, mereka akan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Azman mendapati keenam-enam tertuduh mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais, 55.

Mereka dituduh membunuh Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya di Kuala Lumpur, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta di Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Morais diculik beberapa lelaki selepas dia keluar dari keretanya untuk memeriksa kerosakan kenderaannya selepas dia dilanggar di Jalan Dutamas  Raya Sentul dan dibawa ke No 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, pada hari yang sama.

Pada 5 September, sebuah kereta Proton Perdana (versi Honda Accord) ditemukan hangus terbakar di Ladang Kelapa Sawit, Kg Sungai Samak, Hutan Melintang Perak, iaitu kenderaan sama dipandu Morais yang dilaporkan hilang.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015. – Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.