Perak Hari Ini

Pantau Pematuhan SOP: Perak Beri Jaminan Keselamatan Pelancong

IPOH- Kerajaan Perak akan sentiasa memastikan keselamatan pengujung yang datang ke negeri ini terjamin dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam merancakkan sektor pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pihak pemain industri telah melakukan yang terbaik dalam mengikuti garis panduan terhadap jaminan keselamatan pengunjung.

“Lawatan kerja pada hari ini lebih kepada melihat sama ada SOP telah dikenakan kepada taman tema air telah dipatuhi. Alhamdulillah setakat ini kita lihat kemajuannya cukup baik dan pihak pengurusan Lost World of Tambun (LWOT) telah melakukan yang terbaik dalam mengikut garis panduan yang telah diberikan malahan mereka telah menambahbaik dari segi tatacara dan sebagainya,” katanya.

Baliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja sempena pembukaan semula taman tema air Lost World of Tambun (LWOT), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Sunway Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, taman tema berkenaan telahpun dibuka 100 peratus bermula hari ini.

“Harga tiket dan waktu operasi masih sama seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kita tak rasa apa yang kita lalui sepanjang PKP diletakkan kepada pengunjung,” katanya.

Harga tiket masuk dewasa bernilai RM117, kanak-kanak RM110 manakala waktu operasi bermula pada jam 11 pagi hingga 11 malam dan taman tema ini ditutup pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, sebagai langkah keselamatan, pihaknya akan memastikan paras klorin di dalam air sentiasa berada pada tahap yang normal.

“Pengujian klorin akan dilakukan setiap dua jam untuk memastikan paras klorin di dalam air berada pada kadar normal di mana fungsinya adalah bahan aktif mencegah kuman.

“Kita lakukan pengujian kandungan air setiap dua jam dan dari segi rekod kita guna sistem ‘auto dosing’,” katanya.

Hadir sama, Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin iaitu wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melakukan pemeriksaan ke atas perlaksanaan SOP di taman tema air berkenaan.

Sementara itu menurut Nolee Ashilin, tindakan yang diambil pihak LWOT antara langkah keselamatan kepada pengunjung di taman tema air dalam mengekang wabak Covid-19.

“Ini antara langkah-langkah diperkemaskan bagi memastikan pengunjung-pengunjung datang ke Lost World mendapat jaminan keselamatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, bermula dari 10 Jun sehingga ke hari ini, Perak telah menerima kira-kita 7,736 tempahan hotel yang mana terdiri daripada 57 pengusaha hotel.

“Ada penambahan dari industri di mana bermula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kita nampak penambahan agak memberangsangkan kita ingat akan perlahan tapi nampak gayanya ramai sudah sedia utk keluar mengunjung dan inilah masanya untuk kami pihak industr pelancongan mempergiatkan aktiviti dan menjamin keselamatan bagi mematuhi SOP,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");