Perak Hari Ini

Pawagam Pandu Lalu Pertama Malaysia Di Perak Mula Operasi Esok

IPOH- Perak mencipta sejarah dengan menawarkan pengalaman baru kepada pencinta filem untuk menonton wayang secara pandu lalu pertama Malaysia terletak di Downtown Meru Raya yang mana dibuka kepada orang ramai bermula esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merupakan individu yang memberi idea bagi membangunkan Casuarina Sini-Drive ekoran daripada penularan wabak Covid-19.

Katanya, idea berkenaan tercetus dari pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang yang mendesak semua orang agar menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

“Sebenarnya ilham ini datang daripada pengalaman waktu PKP yang perlu menjaga jarak sosial, maka saya fikir jangan biar Covid-19 mengawal kita tetapi kita yang harus mengawal Covid-19, jadi datang la idea untuk berhibur dengan menonton filem melalui wayang pandu masuk ini.

“Saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana pada hari ini pihak Perak Corp Berhad (PCB) telahpun menunaikan janji mereka kepada saya untuk terlibat sama dalam usaha untuk memajukan industri pelancongan di negeri Perak dengan mengadakan fasiliti drive cinema ataupun panggung lalu pandu masuk.

“Kalau dulu saya menonton filem Grease dan di situ saya melihat bagaimana orang di Amerika menonton wayang dalam kereta dan waktu kita kanak-kanak dulu saya biasa membesar dengan wayang- wayang pacak oleh jabatan penerangan suasana sebegitu dapat dikembalikan dengan usaha ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Casuarina Sini-Drive di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Ahmad Faizal, beliau turut berpandangan bahawa pihak penganjur perlu menjaga tatasusila pengunjung supaya tidak berlaku sebarang perkara tak baik di kawasan berkenaan.

Wayang pandu lalu ataupun Casuarina Sini-Drive dibangunkan oleh pihak PCB yang mana merupakan produk baru syarikat berkenaan di mana setiap kali tayangan, ianya boleh memuatkan sebanyak 70 buah kenderaan dengan keluasan paparan sebesar 6×18 kaki.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif PCB, Zainal Iskandar Ismail, kelainan Casuarina Sini-Drive adalah penonton boleh membuat tempahan secara atas talian di laman sesawang http://sini-drive.com.my

“Kalau dilihat masa masuk tadi, kita tawarkan makanan secara atas talian, penonton boleh membeli tiket dan kupon secara atas talian, malahan makanan juga akan dihantar ke kereta.

“Penonton juga boleh merasai pengalaman mendengar semua sistem audio dan suara di dalam kereta masing-masing,” katanya.

Sementara itu tambah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, beliau berpendapat bahawa pawagam pandu lalu merupakan satu idea yang sangat baik demi memberi peluang kepada rakyat untuk keluar meluangkan masa bersama sama dengan keluarga.

“Saya yakin bahawa terdapat ramai orang yang tidak mahu mengambil risiko terjangkit dengan wabak yang merbahaya ini. Mungkin ada juga yang merasakan SOP yang telah ditetapkan itu agak renyah untuk dipatuhi, maka di sini lah usaha dan initiatif seperti Sini-Drive ini dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.

“Selain itu, Sini-Drive ini juga berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke negeri Perak khususnya ke Bandar Meru Raya. Perkara ini dapat menjana dan merancakkan ekonomi setempat sejajar dengan seruan kerajaan negeri dalam kempen #TravelPerakLah yang telah dilancarkan baru baru ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");