Berita Hari Ini

PBT Tumpu Pemutihan Peniaga Haram Dan Yang Menyewakan Lesen Kepada Warga Asing

JOHOR BAHRU: Pemutihan terhadap peniaga haram dan mereka yang menyewakan lesen kepada warga asing, antara langkah dicadangkan bagi meningkatkan kutipan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT).

BH Online melaporkan Menteri Perumahan dan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata saranan itu dikemukakan selepas mengambil kira kekurangan hasil kutipan PBT sehingga 10 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu.

“Rata-rata saya lihat hasil PBT menurun sebanyak 10 peratus. Kalau (PBT) yang kecil-kecil turun antara RM2 juta dan RM3 juta sahaja, tetapi MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) turun sehingga RM40 juta,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Menara MBJB, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, beliau yakin kutipan hasil dalam kalangan PBT akan kembali meningkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Untuk itu, beliau berkata pihaknya mengambil kira cadangan dikemukakan MBJB supaya mewujudkan pusat sehenti bagi mempercepatkan permohonan lesen perniagaan bagi menyegerakan proses pemulihan aktiviti perniagaan.

Dalam perkembangan berasingan, katanya pusat pelupusan sampah di kawasan seluas kira-kira 283 hektar akan diwujudkan di Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang, di sini, untuk mempertingkatkan kapasiti pengurusan sampah di bandar raya ini.

Beliau berkata, tapak berkenaan akan digunakan bagi tujuan melupus sisa pepejal, barangan lusuh serta besi buruk.

“Kami harap ia dapat membantu menguruskan sampah bersepah dan tidak diurus dengan baik di kawasan MBJB,” katanya.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud, berkata pusat pelupusan sampah itu mampu mempercepatkan usaha pihaknya melupuskan kereta terbiar tidak dituntut yang mengambil masa lama untuk proses pelupusannya.

Beliau berkata bidang kuasa berkaitan kereta terbiar termasuk di bawah tanggungjawab Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pemilik persendirian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");