Perak Hari Ini

Pelaburan RM1 Bilion, Bakal Wujudkan 700 Peluang Pekerjaan Di Perak

IPOH: Perak menerima kemasukan pelaburan baru bernilai lebih RM1 bilion yang membabitkan tujuh buah syarikat tempatan dengan usahasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Syarikat tersebut adalah Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd; Gading Kencana Sdn Bhd; PHN Industry Sdn Bhd; Manjung Naluri Sdn Bhd; Mata Aerotech Sdn Bhd; Unisem Advanced Technologies Sdn. Bhd. serta ExcelVite Sdn Bhd.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pelaburan tersebut bakal mewujudkan 700 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Katanya ia adalah sebahagian daripada insiatif dan langkah proaktif kerajaan negeri dalam merancakkan kembali ekonomi negeri melalui pembangunan strategik, ransangan ekonomi serta memperkasakan rakyat.

“NCIA telah membentangkan pendekatan serampang tiga mata yang menyarankan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur strategik dan mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta dan memperkasakan rakyat.

“Tadi saya telah menyaksikan pertukaran dokumen pelaburan antara NCIA dengan tujuh syarikat swasta melalui pelaburan lebih RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Komitmen Pelaburan Negeri anjuran NCIA di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata pelaburan baru tersebut akan memberi gambaran baik kepada pelabur lain untuk melabur di Perak

Katanya ia sekaligus akan mewujudkan lagi peluang-peluang pekerjaan yang seterusnya akan memberi impak yang baik kepada rakyat dalam tempoh mencabar ini.

“Semua syarikat mahupun individu terkesan dengan pandemik COVID-19, tetapi syarikat yang membuat pelaburan ini tentunya sudah membuat perancangan jangka masa panjang dan melihat potensi di negeri ini,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");