Berita Hari Ini

Pendakwaan mahu pinda notis lucut hak wang bapa Jho Low

Pihak pendakwaan memohon untuk meminda notis pelucuthakan wang berjumlah RM48.9 juta dalam akaun bank milik bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali Jho Low, yang disita kerajaan.

Pada 9 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah RM48.9 juta dalam tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng selepas tiada pihak ketiga hadir di mahkamah bagi menuntut wang terbabit.

Bagaimanapun, dipercayai kerajaan belum lagi memperoleh hak ke atas wang tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli memberitahu pemberita bahawa pendakwaan memohon lanjutan tempoh untuk memfailkan hujahan berhubung permohonan meminda notis pelucuthakan itu.

Beliau berkata permohonan akan didengar pada 24 Julai ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Difahamkan permohonan itu difailkan memandangkan terdapat sedikit perbezaan berbanding notis asal berkaitan nama bank yang terlibat dan jumlah wang.

Kerajaan menerusi pihak pendakwaan telah memfailkan notis pelucuthakan dana itu menurut Seksyen 56 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Berikutan ketidakhadiran pihak ketiga di mahkamah, pihak pendakwaan memohon agar dana tersebut dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Tujuh akaun yang merangkumi simpanan tetap dan semasa itu sebelum ini dibekukan sebagai sebahagian siasatan sama ada wang tersebut adalah sebahagian dana yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dana terbabit merangkumi RM20.7 juta; RM300,000; RM500,000 dan RM20 juta dalam akaun Larry Low di RHB Bank cawangan KLCC yang dibekukan pada 11 Dis 2018, serta RM6.6 juta; RM462,618 dan RM318,021 dalam akaun Maybank cawangan Gurney Plaza di Pulau Pinang yang dibekukan pada 31 Jan 2019.

Pihak berkuasa dilaporkan berusaha mengesan Larry Low, isterinya Goh Gaik Ewe dan Jho Low lebih setahun untuk membantu siasatan kes 1MDB.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");