Berita Hari Ini
Like

Persidangan sehari Dewan Rakyat 18 Mei sah, ikut Perlembagaan

July 7, 2020
258 Views
0 Comments
3 minutes read
Persidangan sehari Dewan Rakyat 18 Mei sah, ikut Perlembagaan

Persidangan sehari Dewan Rakyat yang diadakan pada 18 Mei lalu adalah sah dan mematuhi peruntukan Perlembagaan, mengikut afidavit ditanda tangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Afidavit difailkan pada 22 Jun lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menegaskan persidangan itu sah mengikut Perkara 63(1) Perlembagaan, prosiding dalam majlis parlimen dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Afidavit yang mewakili Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof turut mendakwa, permohonan mana-mana pihak untuk mencabar status sidang Dewan Rakyat sehari itu tidak mempunyai merit.

“Saya sesungguhnya percaya dan menyatakan mesyuarat pertama yang diadakan pada 18 Mei 2020 adalah menepati peraturan mesyuarat majlis (persidangan Dewan Rakyat).

“Jika parlimen tidak bersidang menurut peraturan majlis, ia hanya terjumlah kepada suatu salah aturan saja dan bukannya tidak sah mengikut Perlembagaan.

“Sebarang kepincangan berdasarkan peraturan majlis sama sekali tidak mencatatkan prosiding parlimen. Saya dinasihati Peguam Kanan Persekutuan yang permohonan plaintif sebagai terkhilaf dari segi undang-undang peraturan majlis,” kata Nizam Mydin di dalam afidavit itu.

Pada 15 Mei lalu, peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam memfailkan saman pemula terhadap Muhyiddin (defendan pertama) dan Mohamad Ariff (defendan kedua) dengan mencabar status sah persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu yang didakwa tidak menepati Perkara 55 (1) Perlembagaan dan Peraturan Majlis Mesyuarat.

Sementara itu, dalam afidavit berkenaan, Nizam Mydin menjelaskan, Ketua Majlis (Perdana Menteri) melalui surat bertarikh 2 Mac lalu mengemukakan takwim baharu Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 kepada Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, takwim asal mesyuarat pertama Dewan Rakyat adalah pada 18 Mei hingga 23 Jun dan mesyuarat kedua (27 Julai hingga 27 Ogos) manakala mesyuarat ketiga (28 September hingga 26 November).

“Melalui surat bertarikh 17 April lalu, Ketua Majlis meminda tarikh mesyuarat pertama kepada 18 Mei disebabkan penularan wabak COVID-19.

“Melalui surat bertarikh 12 Mei pula, Ketua Majlis meminda urusan mesyuarat pertama kepada urusan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen kerana COVID-19 masih belum reda sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang bersidang pada hari itu dengan hanya urusan Titah Diraja juga menepati Peraturan Mesyuarat Majlis (Dewan Rakyat).

Sehubungan itu Nizam Mydin memohon supaya saman pemula difailkan dua pemohon itu ditolak dengan kos. Kes itu ditetapkan bagi pendengaran permohonan pada 30 Julai ini.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Rakyat akan bermula pada 13 Julai sehingga 27 Ogos ini.

Komen & Pendapat

Comments are closed.