Perak Hari Ini
Like

Pertahanan Negara Rapuh Jika Rakyat Gagal Jalin Hubungan Harmoni – Sultan Perak

July 31, 2020
261 Views
0 Comments
2 minutes read
Pertahanan Negara Rapuh Jika Rakyat Gagal Jalin Hubungan Harmoni – Sultan Perak

IPOH: Para pemimpin diingatkan agar memberikan contoh teladan kepada rakyat dalam memupuk semangat saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah semangat saling memahami serta menghormati antara kaum dan agama merupakan peranan utama bagi menjami ketenteraman sesebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Pertahanan negara akan menjadi rapuh jika warga yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, gagal menjalinkan hubungan yang harmoni.

“Pertahanan negara akan menjadi lebih teguh apabila warga berjaya dipupuk menemui titik pertemuan, menghayati semangat bersatu dalam kepelbagaian,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Memperingati Hari Pahlawan di Kem Syed Putra, di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, turut berangkat.

Turut sama berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Titah Sultan Perak, kesemua individu yang pernah menerima dua Darjah Tertinggi iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) dan Panglima Gagah Berani (P.G.B.) nyata membuktikan perkhidmatan pertahanan negara telah dipikul bersama oleh warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Antara nama yang disebut dalam titah Baginda bagi S.P adalah, Special Constable R.Veloo, Konstabel Abu Bakar Ngah Wahab dan Konstabel Fong Thean Kit sementara bagi Darjah P.G.B. pula Mejar Jeneral Abdul Rahman Khamis, Kolonel Maurice Lam Shye Choon serta Kapten R. Shanmuganathan.

“Dalam menjunjung amanah mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara dan memelihara keamanan negara, ramai anggota tentera dan polis yang telah berkorban.

“Ketika kita sedang menghadapi juadah Aidiladha, ketika ramai kita beriang ria bersama keluarga dan jiran tetangga, ramai pula anggota tentera dan polis yang sedang bertugas.

“Tidak kurang yang sedang menghadapi pelbagai ancaman. Anggota pasukan keselamatan ialah wira-wira negara,” titah Sultan Perak.

Dalam majlis sama, Baginda turut bertitah agar semua yang hadir dapat berdiri dan memberikan tepukan tangan penghormatan kepada para anggota tentera dan Polis kira-kira seminit.

Komen & Pendapat

Comments are closed.