Perak Hari Ini

Pertubuhan NGO Sasar Golongan B40 Dan Luar Bandar Dalam Mengawal Penyakit Diabetes

IPOH- Sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah memberikan 100 unit Glukometer kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak untuk diserahkan kepada penghidap kencing manis sebagai langkah awal untuk mengawal gula dalam darah.

Pengerusi Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart), Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili berkata, inisiatif berkenaan akan diperluaskan ke seluruh Malaysia untuk meningkatkan kesadaran kesihatan dalam kalangan masyarakat seawal mungkin.

Katanya, pemberian Glukometer turut dilakukan serentak kepada JKN Sabah dengan jumlah yang sama di mana fokus penyerahan adalah kepada masyarakat yang berada di pedalaman.

“Dengan sedikit sumbangan Glukometer ini, ianya dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit kencing manis kerana jika disahkan menghidap penyakit ini agak sukar untuk dikawal dan perlukan rawatan sebaiknya sebab itu kami prihatan berkenaan dengan kualiti hidup.

“Kita akan luaskan penyerahan Glukometer ini ke seluruh negeri kerana kita mahu satu Malaysia mendapat kesedaran tentang penyakit kencing manis, kita bukan sahaja menyerahkan Glukometer tetapi perkara yang penting adalah kesedaran terutamanya kepada golongan B40 dan golongan luar bandar,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Penyerahan 100 unit Glukometer kepada JKN Perak, di sini, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili

MyHeart bagaimanapun bekerjasama erat dengan satu lagi NGO iaitu MyFundAction Perak dalam menggerakkan inisiatif sedemikian.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Ding Lay Ming selaku penerima edaran berkenaan.

Menurut beliau, satu daripada lima rakyat Malaysia tiada kesedaran yang baik tentang kesihatan dan golongan B40 merupakan antara mereka yang paling ramai menghidap penyakit berkenaan.

“Faktor pemakanan adalah sesuatu yang sangat penting untuk kita kawal penyakit kencing manis, jadi masyarakat kita sangat kaya dengan pemakanan termasuklah di luar bandar di mana kesedaran kesihatan perlu dipertingkatkan lagi di kawasan berkenaan.

“Fokus kepada golongan B40 pula selain kurang kesedaran, kemampuan mereka untuk mendapatkan akses kesihatan juga mempunyai kekangan,” katanya.

Menurut beliau lagi, inisiatif tersebut juga sebagai klinik bergerak yang mana programnya adalah untuk memberikan satu Glukometer kepada pesakit.

MyHeart merupakan pertubuhan yang menfokuskan kepada kesedaran kesihatan yang mempunyai dua aktiviti utama iaitu kesukarelaan dan pemberian dana kepada masyarakat.


Dalam pada itu Dr Ding semasa menyampaikan ucapan berkata, kencing manis adalah satu masalah yang besar di mana kita perlu bersama-sama untuk melawan penyakit ini seperti kita melawan virus Covid-19.

Mengikut statistik, pesakit diabetes adalah seramai 425 juta orang pada tahun 2019 dan dijangka meningkat kepada 522 juta orang menjelang tahun 2030.

Peningkatan data pesakit diabetes atau kencing manis yang naik mendadak tahun demi tahun ini mencatatkan golongan muda berada dalam peratusan yang tinggi dan yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan mereka tidak sedar akan risiko penyakit ini terhadap diri mereka sehingga mengalami tanda awal penyakit diabetes.

Pesakit bakal berhadapan dengan komplikasi diabetes yang teruk seperti kebutaan, masalah buah pinggang dan pemotongan kaki sekiranya langkah pengawalan makanan dan gula masih dipandang enteng.

Setelah disahkan menghidap penyakit diabetes, individu tersebut perlu menjalani proses rawatan sepanjang hayat dan melibatkan kos perubatan yang tinggi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");