Perak Hari Ini

Petani Kecil Di Chemor Desak Campur Tangan MB Perak

IPOH: Lebih daripada 10 petani kecil di kawasan Chemor mendesak campur tangan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung masalah tanah pertanian yang diusahakan mereka lebih 50 tahun.

Ianya melibatkan tanah di kawasan di Tanah Hitam dan Sungai Bali di Kuala Kuang.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr D Jeyakumar, mendakwa lot tanah alternatif yang ditawarkan seperti dilaporkan media sebelum ini masih belum diterima mereka sehingga hari ini.

“Pada perjumpaan bersama Pejabat Tanah Kinta pada November tahun lalu, para petani dimaklumkan bahawa mereka akan disewakan lot pertanian di tanah ragut berhampiran dengan Kampung Baru Changkat Kinding. Ia bagi tempoh masa lima tahun dengan kadar sewa RM40 seekar.

“Mereka kemudian melawat padang ragut tersebut da mendapati ianya sudah dimiliki oleh beberapa pihak lain termasuk ia berdekatan dengan tiga buah kampung Orang Asli iaitu Kampung Sungai Petai, Kampung Chadak dan Kampung Tonggang.

“Mereka tidak dapat mengenal pasti mana satu kawasan tanah yang ditawarkan oleh Pejabat Tanah Kinta,” katanya.

Lantaran itu, Jeyakumar berkata pada 18 November kemudian mereka telah menghantar surat kepada Pejabat Tanah Kinta untuk meminta penjelasan berkenaan hal tersebut.

Namun dia mendakwa sehingga kini tiada sebarang respons yang diterima mereka.

“Mereka meminta agar pihak Pejabat Tanah Kinta dapat menunjukkan tanah alternatif yang dijanjikan. Sehingga hari ini mereka tidak tahu di mana kedudukan tanah tersebut,” katanya ketika ditemui di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jeyakumar turut meminta campur tangan Menteri Besar Perak berhubung nasib tiga petani di Sungai Bali yang didakwa diarahkan keluar dari tanah seluas 22 hektar yang diusahakan mereka.

Dia berkata petani di situ telah menerima surat peguam yang mengatakan mereka adalah penceroboh dan diminta mengosongkan tanah yang didakwa sudah diusahakan sejak 70 tahun lalu.

Jeyakumar mendakwa tanah itu telah dimiliki oleh sebuah syarikat pemaju perumahan dari Kuala Lumpur pada 2007.

Katanya perkara itu telah dibawa ke Mahkamah Rayuan namun katanya kemungkinan untuk petani di situ menang berhubung kes sama amat tipis.

“Ada petani di sini sudah berusaha untuk memohon geran untuk memiliki tanah di situ pada sekitar tahun 80’an namun gagal. Namun pada 2007 ada pula syarikat luar berjaya memiliki hak ke atas tanah tersebut.

“Justeru saya mewakili petani merayu kepada Menteri Besar agar segera campur tangan dalam isu ini,” katanya.

Terdahulu Jeyakumar mewakili kesemua mereka menyerahkan tiga memorandum berkenaan isu tanah pertanian di Chemor kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Jaffrey Mohd Zainol di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");