Panasnya Hari Ini
Like

PRK DUN Slim: UMNO Putuskan Calon Ahad Ini

July 31, 2020
214 Views
0 Comments
2 minutes read
PRK DUN Slim: UMNO Putuskan Calon Ahad Ini

KUALA LUMPUR – UMNO akan memutuskan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ahad ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata BN Perak telah mengemukakan senarai pendek calon PRK itu kepada Ibu Pejabat UMNO, tiga hari lalu.

“Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan mengumumkan nama calon tiga hari sebelum hari penamaan calon 15 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas menyertai solat sunat Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, di Kampung Sungai Penchala, Damansara, di sini, hari ini, lapor Bernama.

Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengesahkan akan memberi laluan dan akan menghulurkan sokongan penuh kepada UMNO untuk bertanding pada PRK itu.

Annuar berkata, susulan PRK Slim, BN bersama Muafakat Nasional (UMNO-PAS) dan Bersatu Perak bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama yang dinamakan Muafakat Nasional ‘Plus’.

“Alhamdulillah semuanya baik dan Perikatan Nasional (PN) serta BN mempunyai jentera yang berpengalaman dan tidak berdepan masalah.

“Cuma perlukan pemantauan sebab itu kita bersetuju membentuk satu jawatankuasa Bersama Muafakat Nasional ‘Plus’ bersama dengan dianggotai Bersatu, PAS dan parti-parti lain buat pertama kali atas semangat PN.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh pengundian manakala 15 Ogos bagi penamaan calon dan 25 Ogos tarikh pengundian awal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Komen & Pendapat

Comments are closed.