Berita Hari Ini

PRK Slim: UMNO Teliti Calon Sesuai

IPOH – UMNO Perak sedang berusaha mengumpul maklumat calon-calon yang dicadangkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, bulan depan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad yang dilantik sebagai Pengarah PRK DUN Slim berkata maklumat profil calon-calon yang dicadangkan pelbagai pihak itu akan dibawa kepada pengetahuan presiden parti dan Jawatankuasa Pengurusan Parti untuk diselidik terlebih dahulu.

“Kami masih mempunyai masa sebelum proses penamaan calon pada 15 Ogos nanti. Nama-nama yang dicadangkan akan disenarai pendek sehingga calon paling sesuai dipilih untuk bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan UMNO Perak di sini malam tadi.

Beliau berkata agenda mesyuarat bermula pukul 9 malam itu turut melibatkan perbincangan mengenai pilihan raya kecil itu menyaksikan 24 Ketua UMNO Bahagian di Perak serta ketua-ketua sayap menyatakan persetujuan untuk bergerak sehati sejiwa bagi memastikan kemenangan PRK berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Saarani turut berharap Perikatan Nasional (PN) negeri Perak yang terdiri daripada BN, PAS dan Bersatu akan memberi sokongan padu terhadap calon yang akan dipilih bagi mewakili gabungan PN.

“Insya-Allah calon daripada BN akan mendapat sokongan PAS dan Bersatu seperti yang berlaku di PRK DUN Chini, Rantau, Cameron Highlands dan Rantau,” katanya.

Saarani turut berterima kasih kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Perhubungan Bersatu Perak atas sokongan penuh yang dinyatakan kepada calon yang akan terpilih untuk mewakili PN.

Menurut Saarani, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang pertama di Tanjung Malim petang ini selepas memberi taklimat ketua-ketua pusat mengundi.

Katanya beliau turut dijangka mengadakan perjumpaan bersama kesemua ahli jawatankuasa UMNO Tanjung Malim malam ini bagi membentangkan beberapa agihan jadual kerja dan perkara yang telah diputuskan Ahli Majlis Tertinggi.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili BN mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).- Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");