Panasnya Hari Ini
Like

Senarai Jurucakap Parlimen PKR Bukan Kabinet Bayangan – Fahmi

July 3, 2020
378 Views
0 Comments
2 minutes read
Senarai Jurucakap Parlimen PKR Bukan Kabinet Bayangan – Fahmi

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan pengedaran senarai Jurucakap Parlimen bagi wakil rakyat parti itu kepada umum hari ini adalah senarai Kabinet bayangan sekiranya parti itu bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersendirian.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil sebaliknya menegaskan, senarai itu bertujuan memberi tugasan khusus kepada setiap ahli Parlimen PKR bagi meningkatkan keberkesanan mereka.

Menurutnya, beliau turut membayangkan senarai tugasan sama akan turut diagihkan dalam kalangan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) kelak.

“Bukan (Kabinet bayangan), ini senarai tugasan untuk MP (Ahli Parlimen) Keadilan (PKR).

“PH insya-ALLAH menyusul,” katanya kepada media melalui mesej ringkas melalui khidmat WhatsApp petang tadi, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan menegaskan, Pejabat Presiden dan Whip parti melantik Jurucakap Parlimen (Parliamentary Spokepersons) PKR bagi membayangi menteri-menteri Perikatan Nasional mengikut portfolio-portfolio yang ada.

Menurutnya, pelantikan itu adalah bagi memastikan dan mempertingkatkan keberkesanan ahli-ahli Parlimen PKR di samping menonjolkan kekuatan parti itu sebagai parti politik berbilang kaum yang inklusif dan berjaya dalam sejarah Malaysia.

Berdasarkan senarai Jurucakap Parlimen daripada PKR yang diedarkan, sejumlah 21 ahli Parlimen parti itu dilantik diketuai Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang manakala bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik Ketua Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Senarai itu turut disusuli 19 ahli Parlimen PKR yang akan menjadi semak dan imbang terhadap keputusan 19 portfolio kementerian di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Antara ahli Parlimen tersenarai adalah Datuk Johari Abdul (Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri); Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kewangan, Kos Sara Hidup dan Hal Ehwal Pengguna); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Sumber Asli, Air dan Tenaga); Nurul Izzah Anwar (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Nik Nazmi Nik Ahmad (Pendidikan) dan Fahmi Fadzil (Komunikasi, Seni dan Budaya).

Sementara itu, bagi pelantikan pembantu jurucakap untuk 19 portfolio kementerian sama, sejumlah 17 ahli Parlimen PKR dipilih.

Komen & Pendapat

Comments are closed.