Berita Hari Ini

“Serang Speaker Dewan Rakyat satu tindakan kebudak-budakan”

Tindakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menyerang Datuk Azhar Azizan Harun secara melampau selepas beliau dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat, minggu lalu disifatkan sebagai kebudak-budakan.

Perkara itu disuarakan empat Ahli Parlimen kerajaan iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak-Bersatu), Datuk Seri Dr Edmund Santhara (Segamat-Bersatu), Ali Biju (Saratok-Bersatu) dan Jonathan Yasin (Ranau-Bersatu).

Menurut mereka, serangan terhadap Azhar itu tidak wajar kerana bersifat peribadi serta tidak menghormati sistem berparlimen.

“Orang awam dapat melihat sendiri sikap tidak sopan Ahli Parlimen pembangkang yang mengejek dan menjerit untuk mengganggu Azhar ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Mereka antaranya mendakwa pelantikan Azhar tidak dibuat melalui undian. Jelas Ahli Parlimen pembangkang ini tidak tahu atau dengan sengaja cuba mengetepikan Peraturan Mesyuarat 4(3),” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Mereka menegaskan, Peraturan Mesyuarat sama juga digunakan PH ketika mereka melantik Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Jun 2019, ketika gabungan itu menjadi kerajaan.

Bagaimanapun katanya, pembangkang pada ketika itu menghormati proses Mohamad Ariff mengangkat sumpah walaupun awalnya membantah pelantikan itu, tidak bersikap buruk, keji dan jelik yang ditunjukkan Ahli Parlimen PH ketika Azhar mengangkat sumpah minggu lalu.

Keempat-empat mereka yang masing-masing memegang jawatan Timbalan Menteri dan juga bekas Ahli Parlimen pembangkang mengingatkan Ahli Parlimen PH bahawa mereka sendiri meletak kepercayaan kepada Azhar untuk dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.

“Kami menggesa Ahli Parlimen PH memainkan peranan sebagai pembangkang secara bertanggungjawab, apatah lagi ketika menjadi kerajaan, ramai daripada mereka tidak gusar jika kembali menjadi pembangkang kerana sudah lama memainkan peranan itu,” ujarnya.

Peraturan Mesyuarat 4(3) Dewan Rakyat memperuntukkan, seseorang individu boleh diisytihar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat tanpa undian jika hanya ada seorang yang dicalonkan, manakala undian perlu dilakukan sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon bagi mengisi jawatan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");