Berita Hari Ini

Shafee: Pelantikan Sri Ram untuk dakwa dan sabitkan Najib bersalah

Pelantikan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes berkaitan 1MDB adalah untuk memastikan bekas perdana menteri Najib Razak didakwa dan disabitkan bersalah, kata peguam, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee, yang mewakili Najib, berkata demikian dalam hujahannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam usaha membatalkan kelayakan Sri Ram dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM2.28 bilion dan pengubahan laporan audit 1MDB.

“Pelantikan Sri Ram khususnya dilakukan dengan tujuan untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas Najib,” kata Shafee di hadapan hakim, Mariana Yahaya.

Shafee berpendapat tidak penting bagi Sri Ram sama ada Najib tahu sumber wang itu berasal dari SRC International atau 1MDB kerana Sri Ram hanya mahu Najib didakwa terlebih dahulu.

“Adakah dia tahu wang itu berasal dari SRC atau 1MDB? Semua ini tidak menjadi masalah baginya. Apa yang penting ialah membuat Najib didakwa,” katanya.

Untuk rekod, Sri Ram juga bertindak sebagai pendakwa utama kes pengubahan wang haram melibatkan Shafee yang melibatkan RM9.5 juta.

Mariana juga mendengar permohonan semakan kehakiman Shafee yang berasingan untuk membatalkan kelayakan Sri Ram daripada kes membabitkan peguam itu.

Merujuk kepada Sri Ram, peguam lain Najib, Harvinderjit Singh berpendapat pendakwa raya tidak mempunyai kuasa untuk melantik peguam sebagai timbalan pendakwa raya sambilan dan peguam pada masa yang sama.

“Pendakwa raya tidak mempunyai kuasa untuk melantik peguam sebagai DPP sambilan dan juga peguam pada masa yang sama.

“Penggunaan kuasa di bawah seksyen 376 (Kanun Prosedur Jenayah) (untuk melantik Sri Ram) adalah salah.

“Ini tidak masuk akal, tidak rasional, dan sangat tidak wajar,” kata Harvinderjit.

Katanya, pelantikan Sri Ram sebagai DPP juga untuk memenuhi manifesto Pakatan Harapan bagi mengheret Najib ke mahkamah berkaitan dengan 1MDB.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, dalam hujahnya mengatakan bahawa pelantikan Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, adalah mengikut undang- undang.

Beliau berkata Seksyen 376 (3) Kanun Acara Jenayah (CPC) mengizinkan pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

“Seksyen 376 (3) CPC tidak mengehadkan calon Timbalan Pendakwa Kanan yang berpotensi hanya dari kalangan Pegawai Undang-Undang yang berkhidmat di bawah badan kehakiman dan perundangan,” jelasnya.

Shamsul menambahkan, kerajaan seperti pihak swasta, boleh memilih dan melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana peguam bela untuk hadir bagi pihak mereka di mahkamah.

Katanya, adalah membuang masa untuk terlibat dalam perdebatan mengenai kesahihan pelantikan Sri Ram di bawah Seksyen 376 (3) CPC.

Hakim Mariana menetapkan 29 Julai untuk perbicaraan selanjutnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");