Perak Hari Ini

Skuad Ronda PASAK Turun Padang Bantu Golongan Kehilangan Pekerjaan, Terkesan Akibat COVID-19

IPOH: Kerajaan Perak menerusi agensi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) mengambil langkah turun padang ke seluruh negeri bagi membantu dan mengesan rakyat di negeri ini yang terkesan atau kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata usaha itu merupakan inisiatif daripada Program Transformasi Tenagakerja seperti yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Jun lalu.

Ujarnya penularan wabak tersebut nyata memberi kebimbangan kepada kepada golongan tersebut khususnya yang sudah berkeluarga.

Jelasnya lagi kerajaan negeri memahami situasi mereka yang risau akan hala tuju kerjaya masing-masing dalam tempoh ini disamping kesukaran menampung perbelanjaan keluarga dan anak-anak.

Tambah Razman, pada masa sama ia juga memberi kesan kepada golongan belia yang semakin sukar mendapat peluang pekerjaan yang akhirnya meningkatkan kadar pengangguran dalam negara.

Justeru katanya program yang diberi nama ‘Program Jelajah Kerjaya Skuad Ronda’ itu adalah sebagai mewar-warkan peluang dan ruang yang boleh dimanfaatkan mereka khususnya yang terjejas dari sudut pendapatan dan kerjaya sejak akhir-akhir ini.

“Program ini akan mula turun ke lapangan untuk memberi akses kepada rakyat Perak tentang peluang dan ruang yang ada.

“Antara aktiviti dalam program ini seperti pendaftaran pencari pekerjaan, penawaran jawatan kosong, peluang menjalani latihan bersama institusi kemahrian, temuduga kerjaya, promosi perkhidmatan yang ditawarkan PASAK serta maklumat bantuan oleh kerajaan negeri,” katanya dalam satu sidang media, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PASAK Mohd Misbahul Munir Masduki.

Jelas Razaman, dalam program tersebut ‘Skuad Ronda’ akan ke semua lokasi tumpuan umum seperti tapak pasar malam, persatuan rukun tetanga, masjid dan sebagainya melibatkan 24 kawasan Parlimen dan 59 Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat serta menyasarkan semua golongan masyarakat.

Katanya ia juga terbuka kepada golongan yang mahu mencari peluang pekerjaan baharu atau yang berminat untuk meningkatkan kemahiran diri melalui program-program yang disediakan.

“Sehingga 30 Jun lalu, PASAK telah mengenal pasti seramai 1,668 pekerja yang terjejas akibat COVID-19.

“Ia melibatkan 541 pekerja daripada industri perhotelan, 258 (pembuatan dan perkilangan), 106 (pelancongan), 117 (pendidikan) serta 656 (minyak dan gas),” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Perak memperuntukkan dana sebanyak RM4.3 juta bagi perlaksanaan Program Transformasi Tenagakerja.

Ianya melibatkan tiga skim iaitu Latihan Peralihan Tenagakerja, Skim Pengekalan Tenagakerja serta Latihan Peningkatan Kemahiran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");