Perak Hari Ini

Sultan Perak Perkenan Kebenaran Tunai Solat Jumaat Di Surau

IPOH: Perak membenarkan solat Jumaat dilaksanakan di semua surau yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), mulai 10 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah Baginda menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan setelah merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kata Shahrul, kebenaran sama turut terpakai kepada semua surau di institusi pengajian, kem tentera, berek Polis, mahupun ruang solat di jabatan dan pejabat kerajaan.

Namun katanya ruang keluasan ruang solat hendaklah sesuai dan selari dengan pematuhan operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bilangan ahli solat Jumaat di surau-surau berkaitan ialah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

“Kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau, pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.

“Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya amalan tambahan seperti solat sunat Qabliah dan Ba‘diah, wirid, kuliah antara solat Maghrib dan Isyak serta selepas Solat Subuh hendaklah dilakukan tidak melebihi 30 minit.

“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan syarat dan kriteria berserta garis panduan yang perlu dipenuhi oleh sesebuah surau untuk menganjurkan solat Jumaat.

“JAIPk akan mengeluarkan senarai surau yang memenuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");